LABUAN – Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menerusi Program “Justgiving Charity” turut membantu mangsa kebakaran di Kampung Saguking Wilayah Persekutuan Labuan.

Majlis penyampaian bantuan diadakan pada 9 Februari lalu di Kampung Saguking (rumah jiran di mana mangsa ditempatkan buat sementara waktu).

Penolong Pendaftar Sektor Hal Ehwal Pelajar, Mohd Fadzli Sarudi menyerahkan sumbangan kepada Ketua Kampung Saguking, Osman Kadir di rumah penempatan sementara keluarga mangsa.

Sebanyak lapan kotak berupa pakaian terpakai dalam pelbagai kategori (pakaian kanak-kanak, pakaian perempuan dan pakaian lelaki) diserahkan kepada mangsa.

Turut menyertai penyerahan sumbangan itu ialah Ketua Sektor Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Mas Adi Alimin bersama kakitangan HEP, Azleena Nordin dan Junainah Yunus serta seorang pelajar praktikal dari fakulti psikologi.

Mohd Fadzli yang mewakili Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik berkata pakaian itu merupakan sumbangan kakitangan di universiti tersebut.

Katanya, sumbangan itu sebagai tanda simpati dan prihatin warga universiti kepada warga Labuan yang ditimpa musibah.

“Warga UMS Labuan turut bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa kebakaran dan berharap dengan sumbangan itu ianya dapat meringankan beban dan emosi mereka, “katanya.

Kebakaran itu berlaku pada 8 Februari 2017 (Rabu) kira-kira pukul jam 3.00 pagi.

Mangsa yang terlibat ialah pemilik rumah, Asmah Nuasa bersama 10 penghuni rumah termasuk penyewa.

Bagaimanapun kesemua mangsa dalam keadaan selamat.

Tamat.