Labuan – Seorang pesakit jantung kanak-kanak, Kashaavarthini A/P Paramasivam, 13 tahun telah menerima sumbangan sebanyak RM3,000 daripada penganjur Malam Kebudayaan India (ICN) 2017, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Kashaavarthini memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani rawatan jantung berjumlah RM23,000.

Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Pengerusi MIC Bahagian Labuan, Datuk Ramasamy Renggasamy bersama Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal yang mewakili Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Profesor Madya Dr. Murnizam Haji Halik kepada Pengurus Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), Ritzzawati Rosli Mohd Rosli pada majlis perasmian Malam Kebudayaan India UMSKAL 2017 di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan Labuan, pada 11 Mac 2017.

Yang turut hadir Penolong Pendaftar Sektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Mohd Fadzli Sarudi, Penyelaras Program, Dr Anath Rau Krishnan dan Pengarah Program Indian Cultural Nite 2017, Satthishwaran A/L Sekharan.

Sambil mengucapkan terima kasih, Ritzzawati berkata sumbangan itu amat bermakna kepada Yayasan IJN bagi membolehkan pihaknya meneruskan misi membantu pesakit jantung yang kurang berkemampuan untuk menerima rawatan di IJN.

“Yayasan IJN masih memerlukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk membantu pesakit jantung yang kurang berkemampuan untuk menerima rawatan di IJN. Kami ucapkan terima kasih kepada penganjur ICN UMS Labuan atas inisiatif mereka mengumpul dana membantu pesakit tersebut, “katanya.

Datuk Ramasamy Renggasamy amat berbangga dengan inisiatif penganjur ICN 2017 yang tidak melupakan mereka yang memerlukan bantuan khususnya individu yang kurang berkemampuan.

Tamat.