LABUAN - Kelab Debat Bahasa Melayu Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (KDBMKAL) akan menganjurkan Pertandingan Debat Terbuka Ekonomi Piala Pengarah 2017 (DTEPP’17) kali ke-3 pada 17 Mac sehingga 19 Mac 2017.

Setiausaha Pertandingan Debat Terbuka Ekonomi Piala Pengarah 2017, Siti Noorfarhana Yahya berkata pertandingan itu dijadual akan dirasmikan oleh Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL). Profesor Madya Dr. Murnizam Haji Halik.

Katanya, pertandingan itu dianjurkan bagi menyahut Falsafah Pendidikan Negara iaitu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Selain itu, untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang mampu berfikir secara kritis dan spontan dalam menganalisis sesuatu isu untuk dipraktikkan dalam kelas, pembelajaran dan kehidupan seharian.

Pertandingan debat ini disertai oleh institusi-institusi awam dan sekolah menengah luar Labuan.

Antara pasukan yang akan menyertai pertandingan itu ialah dari Universiti Malaysia Sabah Kota Kinabalu (5 pasukan), Politeknik Kota Kinabalu (4 pasukan), Universiti Kebangsaan Malaysia (1 pasukan), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (4 pasukan) dan satu-satunya penyertaan dari sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Sains Kota Kinabalu (2 pasukan).

Penyelaras program ini iaitu Ricky Anak Jores dan Pengarah Program Nur Fatin Nabilah Baharin serta ahli jawatankuasa pelaksana DTEPP berusaha keras untuk memastikan pertandingan ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

Ricky berkata dengan kerjasama, sokongan dan komitmen yang bersepadu daripada semua pihak, beliau percaya pertandingan ini akan berjaya seperti yang diharapkan serta dapat mencapai objektif yang telah digariskan.

Sementara itu, Dr Murnizam berharap pasukan UMS Labuan akan memberikan persembahan terbaik bukan sahaja untuk menyaingi pasukan lain tetapi juga untuk membawa pulang hadiah yang disediakan penganjur.

Tamat.