LABUAN – Program Malam Kebudayaan India (ICN) 2017, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) ini akan menjadi platform terbaik kepada warga universiti mahupun Labuan untuk mengenal dengan lebih dekat akan aspek-aspek kebudayan India yang mempunyai keunikannya yang tersendiri sesuai dengan Gagasan 1Malaysia.

Pengerusi MIC Bahagian Labuan, Datuk Ramasamy Renggasamy percaya ICN 2017 telah diisi dengan pelbagai aktiviti yang mampu memberi hiburan kepada para hadirin tetapi pada masa yang sama, tidak akan gagal dalam memberi informasi atau input yang berguna kepada mereka.

Beliau berharap warga UMSKAL akan mengambil inisiatif untuk menyertai setiap aktiviti yang telah disusun ini sebagai tanda menyokong program-program yang berasaskan perpaduan.

“Inilah yang dikatakan ‘air dicincang tidak akan putus’ walaupun airnya dari sumber yang berbeza,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Kebudayaan India (ICN) 2017, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan Labuan, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seorang pesakit jantung kanak-kanak, Kashaavarthini A/P Paramasivam, 13 tahun telah menerima sumbangan sebanyak RM3,000 daripada penganjur Malam Kebudayaan India (ICN) 2017, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Kashaavarthini memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani rawatan jantung berjumlah RM23,000.

Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Pengerusi MIC Bahagian Labuan, Datuk Ramasamy Renggasamy bersama Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal yang mewakili Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Profesor Madya Dr. Murnizam Haji Halik kepada Pengurus Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), Ritzzawati Rosli Mohd Rosli.

Pada majlis itu juga, Ramasamy mengumumkan sumbangan RM1,100 kepada AJK Penganjur ICN 2017.

Turut hadir Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Hanudin Amin, Penolong Pendaftar Sektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Mohd Fadzli Sarudi, Penyelaras Program, Dr Anath Rau Krishnan dan Pengarah Program Indian Cultural Nite 2017, Satthishwaran A/L Sekharan.

Ramasamy merakamkan ucapan syabas kepada semua AJK ICN 2017 atas kejayaan mereka dalam merancang dan melaksanakan program seperti ini.

“Saya sentiasa memberi sokongan padu dalam pelaksanaan program-program yang mampu mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan warga UMSKAL yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang berbeza,”katanya.

Beliau turut menasihatkan semua mahasiswa dan mahasiswi UMSKAL, bahawa manusia mampu mengemukakan 1001 alasan mengapa mereka gagal, tetapi mereka sebenarnya hanya perlukan satu sebab yang kukuh untuk berjaya.

Ramasamy juga yakin dan percaya ICN mampu mengeratkan lagi hubungan baik antara pelajar universiti khususnya pelajar India dengan pemimpin dan masyarakat tempatan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Sementara itu, Pengarah Program Indian Cultural Nite 2017, Satthishwaran A/L Sekharan berkata program ini dianjurkan berunsurkan kefahaman dan penghayatan terhadap kebudayaan kaum India di universiti.

Malah ianya adalah satu platform untuk memperkenalkan seni dan budaya India kepada pelajar UMSKAL mahupun masyarakat luar tanpa mengira agama dan bangsa.

Jelasnya, memang tidak dapat dinafikan, bahawa program ini telah membawa sejuta satu kenangan dan pengalaman yang cukup terutamanya kepada keluarga ICN 2017.

“Diharapkan segala impak dan input-input yang berguna daripada program ini dapat ditanam, dibaja dan dituai dengan sebaik mungkin oleh semua pihak,”katanya.

Beliau berkata semangat yang kental dan sikap tidak putus asa adalah tunjang utama penganjur dalam melaksanakan program ICN 2017.

Malam Kemuncak ICN itu dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk tarian, silap mata, silambam dan cabutan bertuah.

Tamat.