LABUAN – Pelajar cemerlang Kolej Matrikulasi Labuan (KML) yang memperoleh keputusan 4.0 Purata Nilai Gred (PNG) telah dibawa melawat Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), baru-baru ini.

Lawatan itu bertujuan untuk mendedahkan pelajar terbabit dengan suasana sebenar pengajaran dan pembelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Rombongan KML diketuai Pensyarah Pengurusan Perniagaan, Jumadil Talaakan bersama tiga lagi pensyarah dan 61 pelajar Semester Pertama.

Sejurus tiba, mereka mendengar taklimat daripada Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Hanudin Amin di Dewan Kuliah D, Bangunan Menara universiti.

Turut hadir Timbalan-timbalan Dekan, Dr Mohamad Rizal Abd Hamid (Penyelidikan dan Inovasi) dan Dr Mohd Fahmi Ghazali (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta Penolong Pendaftar Kanan FKAL, Norhanizah Adnan.

Dr Hanudin menyampaikan taklimat mengenai program yang ditawarkan di FKAL dan persediaan mereka memasuki universiti.

Rombongan pelajar itu turut melawat makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Tingkat 9 dan makmal FKAL di Tingkat 7.

Sementara itu, seorang lagi pensyarah KML, Dr Abd Halim Md Desa berkata lawatan ke UMSKAL itu penting bagi menyedarkan pelajar bahawa hanya kesungguhan dan keputusan yang cemerlang sahaja yang akan membolehkan mereka menjejakkan kaki ke menara gading.

“Pelajar melihat sendiri program yang ditawarkan dan kemudahan yang terdapat di UMS Labuan. Kami berharap lawatan itu akan menyuntik semangat pelajar untuk melanjutkan pengajian mereka di UMS khasnya, “katanya.

Jumadil yang mewakili Ketua Unit Pengurusan Perniagaan KML, Hassan Gani mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan komitmen pihak pengurusan UMSKAL khususnya Dekan FKAL.

Tamat.