Labuan – ‘Saya tidak pentingkan diri sendiri’, itulah kata-kata yang diluahkan Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani ketika menghadiri program ‘Breakfast With Champions’ anjuran Jabatan Bendahari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Cafe Kesumba, Aras 11, Bangunan Menara UMSKAL, pada 10 April 2017.

Hassan, 59 tahun berkata tiada lagi impian paling tinggi buat seorang pemain bola sepak selain dipilih menyarung jersi negara tercinta.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Gersik, Wilayah Persekutuan Labuan berkata apabila seorang pemain telah berkecimpung dalam sukan tersebut, mereka sewajarnya memasang impian untuk mewakili negara.

“Saya bangga menyarung jersi Malaysia kerana itulah penghargaan tertinggi buat seorang pemain bola sepak,”katanya.

Pada Program ‘Breakfast With Champions’ itu, Hassan yang digelar ‘lipas kudung’ kerana kelincahannya mengelecek pemain pertahanan lawan, menceritakan pengalaman beliau ketika mewakili Labuan, Sabah dan negara pada era 1970-an hingga bersara pada 1986.

Beliau berkata kemenangan Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-1 pada aksi final Pra Olimpik Moscow 1980 di Stadium Merdeka, merupakan perlawanan yang sukar dilupakan anak tempatan Labuan itu.

Ini kerana, katanya, kemenangan itu membolehkan Malaysia layak ke Olimpik Moscow namun Malaysia memboikot kejohanan berprestij itu sekaligus meranapkan impian pemain bola sepak negara termasuk Hassan untuk beraksi menentang pasukan handalan dunia ketika itu.

Kejayaan Malaysia itu akan menjadi kenangan paling abadi bukan sahaja kepada peminat bola sepak tempatan tetapi juga Hassan kerana hasil kelincahan beliau mengelecek tiga pemain Korea Selatan sebelum melorongkan bola kepada James Wong yang kemudiannya mudah menewaskan penjaga gol lawan untuk membolehkan Malaysia menewaskan lawan itu dengan jaringan 2-1.

Menceritakan detik-detik cemas di perlawanan akhir itu, Hassan sempat bercakap dengan gandingan mantapnya James Wong (kini bergelar Datuk), kalau kita dapat bola saya akan menewaskan pemain Korea Selatan dan membawa kemenangan kepada negara.

“Perlawanan akhir itu hanya tinggal empat minit, apabila saya mendapat bola daripada Khalid Ali, saya terus mengelecek tiga pemain lawan sebelum melorongkan bola kepada King James yang kemudiannya menewaskan penjaga gol Korea Selatan bagi kemenangan dramatik itu,”katanya.

Walaupun mempunyai peluang menjaringkan gol, Hassan tidak mahu mengejar nama apatah lagi melihat James mempunyai peluang yang terbuka luas untuk menewaskan pertahanan dan penjaga gol Korea Selatan.

“Saya utamakan kemenangan pasukan dan bukannya kejayaan peribadi, itulah sebabnya saya melorongkan bola kepada Kiug James,”katanya.

Bagaimanapun kakitangan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Labuan itu berkata kejayaannya mengharumkan nama negara bermula sebagai pemungut bola di belakang pintu gol ketika pemain dewasa bermain bola sepak di Padang Bandaran Labuan ketika itu.

Hassan tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada sifu beliau, Dilbagh Singh, mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman serta jurulatih Sabah, Kelly Tham kerana banyak membantu beliau mengembangkan kerjaya bola sepak di peringkat negeri ketika itu.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada jurulatih negara ketika itu, M Karathu, Abd Rahman dan Datuk Abu Bakar Daud serta Karl Heinz Weigang,”katanya.

Hasil perkongsian beliau bersama Datin Noor Aida Mansor, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata iaitu 3 lelaki dan 2 perempuan.

“Merekalah sumber inspirasi saya selama ini. Saya bangga memiliki sebuah keluarga yang memahami minat saya bermain bola sepak,”kata Hassan.

Selain menyarung jersi negara selama 8 tahun, Hassan turut berbangga kerana pernah dipilih bermain untuk Malaysia di Kejohanan Bola Sepak Pantai Piala Dunia pada 1996-1999 iaitu kejohanan yang dikhaskan kepada pemain yang sudah bersara.

Sebelum mengakhiri perbualan itu, Hassan menasihatkan pemain muda supaya sentiasa menjaga disiplin sebelum, semasa dan selepas menyertai latihan dan pertandingan yang diadakan di dalam mahupun luar negara.

“Jangan pentingkan diri sendiri ketika bermain, utamakan kejayaan pasukan kerana itu lebih penting apatah lagi ketika menyarung jersi negara,”katanya.

Hassan turut bangga kerana berpeluang bermain bersama Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh selain Datuk James Wong yang masih menjadi sebutan peminat bola sepak tanah air.

Majlis yang berlangsung selama dua jam itu turut dihadiri Bendahari UMS, Zallifah Shadan, Timbalan Bendahari, Mohamad Edrus Othman, Penolong Pendaftar Kanan, Hayati Salleh Baihaki dan Penolong Bendahari Kanan, Sektor Kewangan UMS Labuan, Mohd Nazir Ab Manan.

Hadir sama Pengarah UMS Labuan, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Zallifah berkata program itu diadakan untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada individu yang berpengaruh termasuk pemain bola sepak yang pernah mengharumkan nama negara yang sewajarnya diaplikasi oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Bendahari.

Tamat.