LABUAN – Mahasiswa perlu mendalami ilmu kerohanian di samping cemerlang dalam bidang akademik.

Pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL, Mohamad Azmi Abdullah berkata mahasiswa yang cemerlang ialah individu yang seimbang dari segi rohani, intelek dan akademik.

Oleh itu, beliau mahu mahasiswa sentiasa mempelajari dan mendalami pelbagai ilmu keagamaan ketika berada di menara gading.

“Mahasiswa perlu bijak mengatur kehidupan seharian di kampus. Mereka sewajarnya tidak melupakan bidang keagamaan di samping mengejar kecemerlangan dalam bidang akademik,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Deen Culture Festival 2017 peringkat Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang diadakan di ruang legar, Bangunan Menara, kelmarin.

Turut hadir Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar, Nur Iman Reedzal dan Pengarah Program, Mazamirrul Drahman.

Azmi yang juga penyelaras program berkata program tiga hari itu bertujuan untuk memberikan pemahaman kepada masyarakat mengenai Islam secara menyeluruh serta menyedarkan umat Islam dengan isu-isu semasa.

“Program itu bertujuan untuk mendedahkan masyarakat tentang fiqh di samping mengeratkan hubungan silaturrahim antara warga universiti dengan masyarakat setempat,”katanya.

Program yang bertemakan ‘Menyelusuri Kesyumulan Islam’ itu dianjurkan Kelab Sahabat Al-Hikmah UMS Labuan.

Pada hari ini (Sabtu) bermula pukul 2 petang akan diadakan perbincangan bertajuk Tuhan Lebih Saintifik oleh Dr Danial Zainal Abidin di Dewan Utama manakala majlis penutupan pada hari Ahad akan dimeriahkan dengan persembahan artis tanah air, Heliza dan Hazwani Helmi bermula pukul 8 malam.

Turut diadakan ceramah oleh Ustaz Fauwaz Fadzil ‘Eksperimen Cinta’ di Dewan Kuliah Pusat (Jumaat).

Tamat.