LABUAN - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Vokasional Labuan akan menjalinkan kerjasama dengan rakan mereka di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Penyelaras MPP KVL, Nur Aina Zahidah Zaini berkata kerjasama itu bukan sahaja membabitkan akademik tetapi juga bidang lain termasuk kokurikulum, kemahiran, kepimpinan dan sukan.

Katanya, hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua pihak memudahkan lagi kerjasama tersebut demi kebaikan pelajar, kakitangan dan organisasi terbabit.

“Kolej Vokasional Labuan menerusi MPP akan bekerjasama dengan MPP UMS Labuan mengadakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai rombongan 25 pemimpin MPP KVL mengadakan lawatan sambil belajar ke MPP UMS Labuan, kelmarin.

Turut menyertai lawatan itu seorang lagi penyelaras program, Mitchell Wong.

Pada majlis itu, Yang Dipertua MPP KVL, Alken Bunya menyampaikan sijil penghargaan kepada Naib Presiden MPP UMS Labuan, Mohd Fadzil Mohd Arpah.

Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar UMS Labuan, Nur Iman Reedzal dan Nur Aini bertukar-tukar cenderamata sebagai simbolik jalinan kerjasama itu.

Nur Iman yang mewakili Pengarah UMS Labuan, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik berkata pihaknya akan mengadakan lawatan balas sekaligus mengenali Kolej Vokasional Labuan dengan lebih dekat khususnya mengenai kemahiran yang ditawarkan.

Sementara itu, Nur Aina yang mewakili Pengarah KVL, Hajah Siti Muslihah Haji Leeudin mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak UMS Labuan khususnya MPP yang banyak memberikan maklumat mengenai kegiatan pelajar di universiti itu.

“Lawatan ini sangat bermanfaat kepada kami kerana dapat berkongsi pengalaman sambil beramah mesra dengan pemimpin MPP UMS Labuan sekaligus pendedahan mengenai kehidupan di kampus,”katanya.

Turut hadir penyelaras program, Roslinawati Abd Rajak.

Tamat.