LABUAN – Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) perlu lebih kreatif, berinovasi dan seimbang dalam menghadapi kehidupan seharian di menara gading.

Malah, Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal menyeru pelajar agar sentiasa mendalami pelbagai ilmu sebelum mereka berada di luar bersama komuniti.

Ini kerana, katanya, kehidupan di institusi pengajian tinggi tidak sama apabila berada bersama masyarakat dan alam pekerjaan yang lebih terbuka.

“Mahasiswa perlu bersedia dengan kehidupan bersama masyarakat selepas menamatkan pengajian di IPT,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Aku Mahasiswa Universiti (KAMU) 2017 peringkat Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di ruang legar, Bangunan Menara, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengarah 2, Noraziemah Mohamad, Exco Kebajikan dan Khidmat Mahasiswa, Mellanie Mell Adris dan Yang Dipertua Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas), Kolej Kediaman Beta, Loke Sai Hou.

Program KAMU’17 itu turut dimeriahkan dengan penglibatan pelajar Tingkatan Empat hingga Enam SMK Labuan, SMK Mutiara, SMK Lajau, SM St Anthony dan SMK Rancha-Rancha.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk lawatan ke sekitar kampus, perbincangan akademik dan pembentangan oleh pelajar terbabit.

Dr Geoffrey yang mewakili Pengarah Kampus, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik berharap menerusi program tersebut, pelajar akan mengetahui lebih mendalami kehidupan sebenar di universiti termasuk pengajaran dan pembelajaran yang ditempuhi mahasiswa.

“Inilah peluang pelajar sekolah menengah melihat lebih dekat suasana sebenar kehidupan di sebuah universiti. Kewujudan UMS Labuan diharap mampu menaikkan semangat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh sekaligus memperoleh keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik,”katanya.

Majlis perasmian itu dimeriahkan dengan persembahan busking oleh pelajar UMS Labuan.

Timbalan Pengarah 2, Noraziemah Mohamad mengucapkan terima kasih kepada semua AJK Pelaksana yang berjaya menjalankan tugas masing-masing sekaligus memastikan KAMU’17 berjalan lancar.

Tamat.