LABUAN – Seramai 82 pelajar cemerlang telah menerima Anugerah Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) 2017 yang diadakan di Dewan Theatrette, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 26 April 2017.

Mereka merupakan pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 3.5 ke atas dalam Purata Nilai Gred Semester (PNGS) pada tahun ini.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Dekan FKI, UMS, Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim.

Turut hadir Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Dr Zamhar Iswandono Awang Ismail, Ketua Program Teknologi Multimedia (HE12), Dr Carolyn Salimun dan Ketua Program E-Dagang (HE13), Dr Joe Henry Obit.

Majlis yang bermula pukul 2 petang itu dimeriahkan dengan persembahan nyanyian pelajar FKI.

Dalam ucapannya, Dr Ag Asri mengingatkan pelajar FKI cabaran dalam bidang kerjaya semakin mencabar yang memerlukan mereka tidak boleh leka walaupun memiliki keputusan yang cemerlang dalam akademik.

Katanya, di samping keputusan cemerlang, pelajar seharusnya mempunyai pelbagai kemahiran termasuk komunikasi dan mampu bersaing dengan orang lain yang juga mempunyai kebolehan yang serupa.

Beliau berkata keputusan cemerlang dalam peperiksaan bukanlah jaminan kejayaan berikutan perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat.

“Bukan senang untuk mendapatkan keputusan 3.5 PNGS. Justeru pelajar perlu terus mengekalkan kecemerlangan dan bersedia bersaing dengan dunia tanpa sempadan ini,”katanya.

Ag Asri berkata universiti hanyalah tempat untuk berfikir sepanjang tempoh pengajian mereka dan ianya akan terhenti selepas mereka menamatkan pengajian kelak.

Tamat.