LABUAN – Jabatan Penjara Malaysia telah menjalin kerjasama dengan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Majlis Menandatangani Letter of Intent (LOI) sempena Majlis Penutup Kursus Kaunseling Penyalahgunaan Dadah yang diadakan di Dewan Theatrette, UMS Labuan pada 29 April 2017.

Letter of Intent (LOI) itu ditandatangani antara Timbalan Pengarah Penjara Negeri Sabah, Nora Musa dengan Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Mohd Dahlan Haji A Halek.

Majlis LOI itu disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Penjara Malaysia (Keselamatan dan Koreksional) Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Dato’ Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan, yang mewakili Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Komisioner Jeneral Penjara, Dato’ Sri Haji Zulkifli Omar, Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof Madya Dr Murnizam Haji Hlalik yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dan Timbalan Pengarah Pengurusan Banduan, Zainah Pardi.

Terdahulu Ketua Projek KTP UMS-Penjara, Dr Puteri Hayati Megat Ahmad membentangkan projek tersebut.

Dr Murnizam yang mewakili Naib Canselor UMS turut menyerahkan modul Adaptasi Motivational Interviewing (AMI) kepada Dato’ Alzafry Mohamed Al Nassif.

Pada majlis itu, Alzafry turut menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta kursus tersebut.

Kumpulan koir yang diwakili anggota Koreksional Labuan mengetuai nyanyian lagu-lagu patriotik Negaraku, lagu Wilayah Persekutuan ‘Maju dan Sejahtera’ serta lagu UMS ‘Bertekad Cemerlang’.

Program pemindahan kemahiran kaunseling penyalahgunaan dadah strategi AMI diadakan di Pusat Koreksional Labuan pada 25-29 April 2016.

Dr Mohd Harun berkata dengan terjalinnya kerjasama antara kedua-dua pihak, ia juga dapat menunjukkan nilai inovasi yang memacu pencapaian dan membantu masyarakat menghadapi cabaran yang bakal dihadapi.

Katanya, aspek membantu adalah sangat penting kerana pihak FPP memperturunkan ilmu manakala Jabatan Penjara mengaplikasikan ilmu tersebut.

“Harapan saya agar kerjasama ini akan terus terjalin bagi membantu masyarakat membanteras penyalahgunaan dadah,”katanya.

Sementara itu, Haji Zulkifli berkata kerjasama strategik antara Jabatan Penjara dan UMS itu akan memberi impak yang sangat besar di dalam pemulihan serta memberi manfaat bersama.

Katanya, Jabatan Penjara Malaysia mengalu-alukan pandangan mahupun cadangan, idea baru dan diharapkan ianya akan ditambah baik demi memantapkan lagi program-program pemulihan yang dibangunkan di institusi ini.

“Sesungguhnya sumbangan yang diberikan adalah nilai tambah yang tidak ternilai dalam usaha kita membangunkan semula sumber manusia yang bergelar banduan,”katanya.

Beliau berharap kerjasama tersebut akan terus terjalin untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah di negara ini.

Tamat.