LABUAN – Seramai 45 pelajar Kelas Aliran Agama SMK Mutiara teruja ketika mengadakan lawatan sambil belajar ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 3 Mei 2017.

Mereka merupakan pelajar Tingkatan 1 hingga 5 yang menduduki kelas aliran agama di SMK Mutiara.

Ketua rombongan, Ustaz Zainal Abdul Wahab berkata lawatan itu merupakan salah satu inisiatif pihaknya untuk memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai budaya pengajaran dan pembelajaran di universiti.

Katanya, menerusi lawatan itu, beliau yakin pelajar akan mengetahui dan menyedari peluang terbuka luas untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi khususnya dalam bidang pendidikan Islam.

“Ini merupakan Pembelajaran Luar Bilik Darjah (PLBD) SMK Mutiara untuk memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai budaya pengajaran dan pembelajaran di universiti khususnya di UMS Labuan, “katanya.

Rombongan SMK Mutiara itu turut disertai Ketua Penyelaras Kelas Aliran Agama, Ustaz Jailani Muda dan dua orang guru iaitu Ustazah Siti Zawiyah Md Husin dan Ustazah Rohani Matali.

Ustaz Zainal tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pengurusan UMS Labuan yang diketuai Pengarahnya, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik yang memberikan peluang dan ruang kepada pelajar SMK Mutiara mendapat ilmu yang bermanfaat.

 “Ucapan terima kasih juga kami tujukan kepada Pengetua SMK Mutiara, Louren Abon, yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada pelajar Kelas Aliran Agama untuk menimba lebih banyak ilmu berkaitan bidang mereka, “katanya.

Sementara itu, taklimat mengenai pentadbiran UMS Labuan dan program yang ditawarkan di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) disampaikan oleh Pensyarah Pusat Penataraan Ilmu dan Bahasa (PPIB), Nurul Ain Zulhaimi.

Turut hadir Penolong Pendaftar PPIB, Haji Taufek Abd Latif dan pensyarah PPIB.

Nurul Ain berharap kunjungan pelajar sekolah menengah itu akan menarik minat mereka memasuki menara gading selain berazam menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Pelajar terbabit diberi peluang melihat sendiri suasana pembelajaran di kelas PPIB di dewan kuliah.

Tamat.