LABUAN - Pada 25 April 2017 yang lalu, Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Perpustakaan Kolej Matrikulasi Labuan dan Perpustakaan Awam Labuan telah mengambil inisiatif bekerjasama dan berganding bahu menyertai Program Jom Baca 10 Minit peringkat Kebangsaan pada tahun ini.

Penyertaan pada kali ini amat membanggakan di mana seramai 1,363 penyertaan yang telah direkodkan dan dijalankan di sekitar UMS Labuan dan Perpustakaan Awam Perbadanan Labuan.

Program yang dimulakan pada jam 11.00 pagi dan berakhir pada 11.10 pagi itu telah dijalankan serentak di ketiga-tiga lokasi dengan penglibatan semua lapisan masyarakat termasuklah warga pendidik, pengurusan, pelajar dan orang awam.   

Di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan, Sektor Perpustakaan yang menjadi pelaksana program itu telah menjemput beberapa sekolah di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan antaranya Taska Permata Perpaduan Perumahan Kakitangan Bukit Kuda, Taska Permata UMSKAL, pelajar prasekolah dari SK Layangan dan SK Bukit Kalam dan pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan.

Beberapa aktiviti lain juga telah dijalankan seperti dam ular dan menyusun puzzle bergambar untuk kanak-kanak berumur 2 hingga 4 tahun dan celik komputer untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun.

Menurut Pustakawan Kanan Perpustakaan UMS KAL Baharin Entoh, di samping promosi dibuat dalam kalangan warga kampus dan sambutan menggalakkan daripada mahasiswa/mahasiswi dan para pensyarah, sambutan dalam kalangan sekolah yang dijemput pada kali ini juga amat menggalakkan.

Baharin berkata untuk mewujudkan insan yang cintakan ilmu haruslah bermula dari awal dan program ini merupakan salah satu medium dalam mempromosikan budaya cintakan ilmu itu kepada pelajar sekolah.

Beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya Pengurusan UMSKAL yang diketuai Pengarah Kampus, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Fakulti Komputeran Informatik (FKI), Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan serta pengetua dan guru besar yang terlibat dalam menjayakan program kali ini.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Labuan menerusi Perpustakaan Awam  Perbadanan Labuan yang sentiasa menyokong setiap program pendidikan yang diadakan dalam menjadikan Labuan sebagai salah satu hub pendidikan yang penting di Malaysia.

Turut hadir dalam majlis ringkas yang diadakan di Perpustakaan UMS Labuan itu ialah Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah.

Sementara itu, di Perpustakaan Kolej Matrikulasi Labuan, program itu mendapat sambutan yang amat posotif dalam kalangan warga KML

Program Jom Baca di KML itu telah dirasmikan oleh Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, Haji Mohd. Yusof Samad, di perpustakaan kolej tersebut yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah, Ketua-ketua Jabatan, Penolong-penolong Pengarah, Pegawai Eksekutif Kanan, Ketua-ketua Unit dan para pelajar serta kakitangan bukan kerajaan yang bertugas di Kolej Matrikulasi Labuan.

Pustakawan Kolej Matrikulasi Labuan Jumadil Ali berkata, kesedaran budaya membaca adalah perlu dipertingkatkan agar anak-anak masa depan tidak leka dan kerugian tentang kepentingan ilmu dalam merencana masa depan mereka.

Selain daripada aktiviti yang diadakan di UMSKAL, Perpustakaan KML juga telah mengadakan aktiviti Perkongsian Buku Bacaan Kegemaran Aizamin Abdul Aziz dan juga penyampaian sijil penghargaan kepada individu yang telah menyumbangkan bahan bacaan kepada perpustakaan tersebut.     

Tamat.