LABUAN - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Wilayah Persekutuan Labuan (JKKP) akan menganjurkan program di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada September depan.

Pengarahnya, Jinurah Sintian berkata pihaknya akan bekerjasama menganjurkan program berkaitan keselamatan pekerjaan dengan sasaran kepada pelajar dan kakitangan UMS Labuan.

Katanya, JKKP akan memberikan pendedahan dan kesedaran kepada pelajar dan kakitangan mengenai fungsi dan peranan serta kepentingan jabatan tersebut.

“JKKP Labuan juga akan membantu UMS Labuan dalam bidang tersebut mengikut kehendak perundangan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Pengarah UMS Labuan, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik di pejabatnya di Aras 13, Bangunan Menara UMSKAL, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah, Penolong Pendaftar Sektor Hal Ehwal Pelajar, Mohd Fadzli Sarudi dan Pemeriksa Kilang dan Jentera JKKP, Fazley A Wahid.

Sementara itu, Dr Murnizam berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan penganjuran pelbagai program anjuran jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk manfaat pelajar dan kakitangan universiti.

Tamat.