LABUAN - Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), sempena program ramah mesra bersama Naib Canselor UMS pada 12 Mei 2017.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr D Kamarudin D Mudin, Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik dan Naib Presiden MPP KAL, Mohd Fadzil Mohammad Arfah.

Selain mengadakan dialog dengan pemimpin MPP tersebut, Dr Mohd Harun turut berkongsi pengalaman ketika berada di menara gading dan sebagai ibu bapa.

Beliau menasihatkan pelajar supaya menumpukan perhatian yang serius terhadap pelajaran bagi membalas pengorbanan ibu bapa mereka.

Mohd Harun berharap pelajar akan sentiasa menjaga nama baik universiti dan menjaga keselamatan ketika berada di jalan raya.

Selepas itu, beliau mengadakan lawatan ke makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) dan menanam pokok mangga sebagai tanda kenangan kunjungan ke UMS Labuan.

Tamat.