Labuan – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa telah menghadiri program Ziarah Kebajikan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Malaysia di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 12 Mei 2017.

Acara program dimulakan dengan lawatan Dr Ali dan isteri, Puan Sri Datuk Rohani Abdullah yang juga Yang Dipertua Puspanita Malaysia ke Pusat Autisme Labuan yang terletak di UMS Labuan.

Ketibaan beliau disambut Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik dan Pengerusi Pusat Autisme Labuan, Shafry Mohd Sharif.

Beliau diberi taklimat mengenai pusat tersebut oleh Shafry serta menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak autisme.

Selepas lawatan di pusat tersebut, Tan Sri Dr Ali bersama isteri kemudiannya menghadiri program Ziarah Kebajikan Puspanita ke Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Utama UMS Labuan.

Kehadiran Ketua Setiausaha Negara dan isteri disambut tarian kebudayaan oleh ahli Kelab Taming Sari UMSKAL yang dibimbing Mas Adi Alimin serta nyanyian koir kanak-kanak autisme yang bertajuk Mama.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan keseluruhannya sebanyak RM92,000 yang masing-masing diterima Pusat Autisme Labuan sebanyak RM41,000, Hospital Labuan RM45,000, Pusat Dalam Komuniti Labuan RM3,000, PDK Mutiara RM2,000 dan Puspanita Labuan RM2,000.

Dr Ali turut mengumumkan sumbangan sebuah van dan akan mengkaji mengenai penyediaan biasiswa dan latihan khas kepada guru-guru di pusat tersebut.

Beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada UMS kerana menyediakan sebuah rumah dan bantuan sukarelawan dalam kalangan pelajar universiti tersebut untuk membantu Pusat Autisme Labuan.

“Saya berharap lebih ramai pelajar akan membabitkan diri dalam kegiatan sukarelawan dalam pelbagai bidang. Terima kasih saya ucapkan kepada UMS yang banyak membantu Pusat Autisme Labuan,”katanya.

Turut menerima sumbangan Puspanita ialah tiga pesara kerajaan yang sudah uzur yang masing-masing menerima RM600.

Majlis itu diserikan dengan penyampaian hadiah kanak-kanak autisme kepada ibu bapa masing-masing sempena sambutan Hari Ibu 2017 sambil disaksikan Dr Ali dan isteri.

Dr Ali dan isteri turut menyampaikan cenderamata kepada Dr Mohd Harun dan Shafry sebelum meninggalkan majlis kira-kira jam 12 tengah hari.

Program Ziarah Kebajikan Puspanita itu mendapat kerjasama UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Perbadanan Labuan dan Pusat Autisme Labuan.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Othman Haji Mahmood, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), JPM, Datuk Seri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Azhar Ahmad dan Pengerusi Puspanita Cawangan Labuan, Nuraini Mohamaed Hanafiah.

Tamat.