LABUAN – Pelajar perlu meneruskan kecemerlangan secara konsisten dalam akademik.

Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Hanudin Amin berkata kejayaan demi kejayaan yang dilakar pelajar seharusnya diteruskan pada setiap masa.

Katanya, kejayaan yang diperolehi pada masa lalu boleh berulang jika pelajar berusaha lebih gigih dan bersungguh-sungguh.

“Bagaimanapun pelajar perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran sebelum menuai kejayaan yang cemerlang dalam akademik, “katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Dekan Semester 1, Sesi 2016/2017 FKAL, yang diadakan di Dewan Theatrette, UMS Kampus Antarabangsa Labuan Labuan pada 24 Mei 2017.

Pada majlis itu, seramai 153 pelajar yang memperolehi Purata Nilai Gred Semester (PNGS) 3.5 ke atas menerima sijil penghargaan daripada Dr Hanudin.

Hanudin turut menyampaikan hadiah istimewa kepada 15 pelajar yang cemerlang mengikut Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3.

Beliau juga mengingatkan pelajar supaya sentiasa menghormati pensyarah yang memberikan mereka ilmu sehingga berjaya bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga kokurikulum dan sahsiah.

Turut hadir Timbalan-timbalan Dekan, Dr Lee Hock Ann (Akademik dan Antarabangsa), Dr Mohd Rizal Abd Hamid (Pneyelidikan dan Inovasi) dan Dr Mohd Fahmi Ghazali (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta pensyarah.

Majlis itu dimeriahkan dengan persembahan koir oleh pensyarah FKAL serta cabutan nama bertuah yang dimenangi pelajar fakulti tersebut.

Tamat.