LABUAN - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus bergerak ke hadapan dengan pelbagai pencapaian dalam bidang akademik dan aktiviti ko-kurikulum.

Baru-baru ini, Lt. Kolonel (PA) Profesor Madya Dr. Norazah Mohd Suki, Profesor Madya dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) telah memenangi tiga anugerah antarabangsa melalui penerbitan cemerlang beliau termasuk penulisan dalam jurnal berimpak tinggi.

Artikel penyelidikan Dr. Norazah yang bertajuk “Green product purchase intention: impact of green brands, attitude, and knowledge” yang diterbitkan dalam British Food Journal telah dipilih oleh pasukan editorial jurnal sebagai “Highly Commended Paper in the 2017 Emerald Literati Network Awards for Excellence”.

Beliau adalah pensyarah tunggal Malaysia memenangi anugerah tersebut bersama-sama dengan beberapa orang pensyarah lain dari universiti terkemuka.

Kriteria yang digunakan untuk menilai 2017 Emerald Literati Network Awards for Excellence adalah berdasarkan kepada enam kriteria termasuk pengantarabangsaan, kepelbagaian, sokongan untuk penyelidikan ilmiah, dan kesan impak/galakan penyelidikan gunaan.

Dr. Norazah juga turut mengharumkan nama universiti apabila pembentangan beliau yang sangat menyakinkan di 2nd Advances in Social Sciences Research International Conference, Bandung Indonesia yang telah diadakan pada 5-6 Mei 2017 bertajuk “Examining Students’ Satisfaction in Campus-Voting: A Correlation Analysis” telah dinobatkan sebagai “Best Presenter Award”.

Dalam persidangan antarabangsa itu, beliau telah membentangkan bahawa kepuasan dalam kampus e-voting sangat berkaitan dengan pengetahuan dan tanggapan pelajar sebagai pengundi terhadap calon yang ingin diundi.

Apabila mereka berpengetahuan mengenai calon yang ingin diundi secara elektronik dalam kampus, mereka menyedari aspirasi calon yang dinamakan supaya dapat menegakkan hak, keperluan, dan permintaan mereka secara positif dari pihak pengurusan universiti.

Selain daripada itu, kerjasama penyelidikan Dr. Norazah bersama dengan dua penyelidik lain iaitu Dr. Norbayah Mohd Suki dan Azlina Bujang bertajuk “Structural Relationships between Disruptive Attribute Localization and Personalization on Women Consumers' Attitude to Practice Mobile Retailing” telah memenangi “Best Paper Award” di persidangan antarabangsa: International Conference on Business and Social Science, yang telah diadakan pada 28 Februari - 1 Mac 2017 di Melaka.

Pendekatan Structural Equation Modeling (SEM) telah digunakan untuk menilai perkaitan antara pembolehubah dalam hipotesis dengan menggunakan perisian komputer Analysis of Moment Structure (AMOS).

Hasil daripada kajian ini adalah penting dalam penerimaan teknologi peruncitan mudah alih dalam merekabentuk strategi pemasaran.

Kerja penyelidikan ini menerima sokongan kewangan dari Skim Geran Dana Pembudayaan Penyelidikan (RAGS) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Bersyukur dengan segala galakan dan motivasi yang diberikan terutamanya daripada Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Dr. Norazah berazam untuk terus aktif dalam menjalankan penyelidikan dan menerbitkan penulisan dalam jurnal berimpak tinggi sebagai sumbangan beliau kepada pembangunan universiti, masyarakat dan negara.

"Pencapaian dan penerimaan anugerah ini adalah bonus yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang rajin dan komited dengan kerja mereka.

"Saya amat bersyukur dengan pengiktirafan ini dan ia akan pasti menjadi pembakar semangat untuk saya terus mencapai kecemerlangan dan menyumbang kepada pembangunan universiti, masyarakat dan negara tercinta," kata Dr. Norazah penuh bangga.

Tamat.