LABUAN - Universiti Malaysia Sabah Kampung Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menduduki tempat ketiga Liga Futsal Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Borneo 2017.

Pasukan itu turut membawa pulang dua Anugerah Khas yang masing-masing dimenangi Mohd Akmal Mohd Zaki selaku Penjaring Terbanyak dengan 7 jaringan dan Anugerah Pemain Paling Bernilai diraih Mohd Saufi Suhurani.

Dengan kejayaan itu, pasukan UMSKAL bimbingan Mohd Nazri Mohd Ibrahim dan Jasri Japar menerima hadiah RM200.

Hadiah juara sebanyak RM500 dimenangi Universiti Teknologi Mara Sarawak (UITM Sarawak) manakala naib juara diraih Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) RM300.

Kejohanan itu diadakan di Indoor Futsal Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 19-21 Mei 2017.

Selain Universiti Malaysia Sabah Kampung Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Liga Futsal itu disertai Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Universiti Teknologi Mara Sarawak (UITM Sarawak), Politeknik Sarawak dan I-System College Sarawak.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pasukan futsal tersebut, Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik berharap lebih banyak kejayaan akan diraih pada pertandingan akan datang.

“Kejayaan itu turut membantu mempromsoikan nama UMSKAL di peringkat IPT Borneo,”katanya.

Tamat.