LABUAN: Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita UMS (Kesumba) UMS Kampus Antarabangsa Labuan telah mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Kesumba Biz and Beat di Kafetaria UMSKAL pada 11 Julai 2017.

Pengerusi Kesumba UMSKAL, Hayati Salleh Baihaki berkata majlis itu diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan ahli kelab tersebut di UMS Labuan.

Beliau yang juga Penolong Pendaftar Kanan di Jabatan Bendahari UMS berkata menerusi majlis tahunan itu, ahli boleh berinteraksi dengan AJK Tertinggi Kesumba UMSKAL.

“Majlis Hari Raya Aidilfitri adalah antara aktiviti yang saban tahun kami adakan untuk mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin dalam kalangan ahli di UMS Labuan, “katanya.

Majlis yang bermula pukul 10 pagi itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik yang juga Penasihat Kesumba UMSKAL.

Menurut Hayati, Kesumba KAL yang mempunyai 64 ahli ketika ini juga akan mengadakan aktiviti yang membabitkan masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita di Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pengurusan UMSKAL yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada pelbagai aktiviti yang dianjurkan Kesumba UMSKAL selama ini.

Pada majlis itu, Hayati turut meraikan sambutan hari jadi ahlinya pada bulan ini.

Tamat.