LABUAN – Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) akan menganjurkan Sukan Empat Penjuru pada 11-13 Ogos 2017.

Selain UMSKAL, tiga lagi pasukan yang akan menyertai sukan itu ialah Perbadanan Labuan, Labuan FSA dan PDRM.

Empat pasukan tersebut akan menyertai acara badminton, bowling, pool, bola sepak, ping pong, bola tampar, bola jaring, dart dan golf.

Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik berkata kejohanan empat penjuru itu diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara agensi terbabit.

Katanya, menerusi program tersebut, pegawai dan kakitangan keempat-empat agensi dapat beramah mesra dan berinteraksi sekaligus mengetahui serba sedikit peranan mereka di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kejohanan Empat Penjuru itu lebih kepada persahabatan antara UMS Labuan dengan Perbadanan Labuan, Labuan FSA dan PDRM. Saya berharap hubungan erat akan lebih terjalin menerusi sukan, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pertama di Bilik Seminar Layangan, Aras 11, Bangunan Menara UMS Labuan pada 25 Julai 2017.

Turut hadir Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah, Pegawai Belia dan Sukan Kanan, Gabriel Moinjil selaku Setiausaha dan wakil Perbadanan Labuan dan PDRM Labuan.

Hadir sama penyelaras sukan terbabit.

Dr Murnizam berkata pihaknya akan menghantar surat jemputan secara rasmi kepada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, Ketua Pengarah Labuan FSA, Datuk Ahmad Hizzad Baharudin, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Azhar Ahmad dan Ketua Polis Labuan, ACP Azhar Othman untuk menyertai kejohanan tersebut.

Katanya, bagi memeriahkan program tersebut, VVIP akan menyertai acara badminton pada majlis perasmian penutupan yang bakal diadakan di Dewan Utama UMS Labuan.

Tamat.