LABUAN – Seramai 40 kakitangan pentadbiran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan lawatan kerja ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 4 Ogos 2017.

Lawatan tersebut diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pengajar UMS, Prof Madya Dr Awang Setia Musleh.

Kakitangan bukan akademik itu turut menghadiri Bengkel Motivasi Kakitangan Pentadbiran FPSK Siri 2/2017 yang bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan prestasi kerja mereka.

Pada Julai tahun lalu, staf pentadbiran FPSK mengadakan program yang sama di Fakulti Pertanian Lestari (FPL) di Sandakan.

Menerusi program lawatan itu, hubungan baik antara kakitangan FPSK dengan UMS Labuan akan terus terjalin walaupun ada dalam kalangan mereka pertama kali mengunjungi UMS Kampus Labuan.

Selain itu, kakitangan pentadbiran FPSK dapat melihat sendiri pentadbiran di UMS Labuan.

Pada masa sama, menerusi kunjungan tersebut, kakitangan FPSK dapat melihat dan menikmati pembangunan pesat yang dialami Labuan yang diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984.

Jurucakap FPSK mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan komitmen pegawai dan kakitangan UMS Labuan yang diketuai Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik dan Timbalan Pendaftar Kanan, Zamri Mohamad Tuah yang menjayakan program FPSK ke kampus tersebut.

Selain UMS Labuan, rombongan itu turut melawat Muzium Marin di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di Tanjung Purun.

“Program itu turut memberikan ruang dan peluang kepada kakitangan pentadbiran untuk melapangkan fikiran, merehatkan diri dan bersantai sekaligus merapatkan lagi hubungan antara kakitangan FPSK itu sendiri,”katanya.

Tamat.