LABUAN - Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melaksanakan program Pembelajaran Sains dan Teknologi melalui pengaturcaraan visual di Kota Belud dengan inisiatif kerjasama universiti bagi Program Transformasi Luar Bandar Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 (NBOS-4) pada 2 Ogos lalu di SMK Pekan II Kota Belud dan 3 Ogos di SMK Pekan Kota Belud.

Program ini melibatkan empat buah sekolah menengah di daerah Kota Belud. FKI akan melaksanakan lagi aktiviti tersebut pada 14 Ogos di SMK Usukan, dan 17 Ogos di SMK Taun Gusi.

Tenaga pengajar dan fasilitator dari UMS yang terlibat adalah Dr. Lau Hui Keng, Dr. Leau Yu Beng, Dr. Norazlina Khamis, Cik Asni Tahir, Cik Nordaliela Mohd Rusli, Cik Norhayati Daut, Puan Siti Hasnah Tanalol, Puan Suraya Alias, dan Dr. Chin Kim On selaku ketua rombongan merangkap ketua projek NBOS-4 yang berkenaan.

Rombongan ini dipengerusikan oleh Dekan FKI, Prof. Madya Dr. Ag Asri Ag Ibrahim.

Menurut Prof. Madya Dr. Ag Asri Ag Ibrahim (gambar), program tersebut adalah bertujuan untuk menarik minat pelajar terutamanya pelajar luar bandar terhadap sains dan teknologi melalui pengaturcaraan visual.

Katanya, melalui program ini, pelajar didedahkan tentang pemahaman membina dan menyelesaikan masalah menggunakan logik dan berfikiran komputasional.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar untuk cemerlang dalam mata pelajaran Sains dan juga Matematik. Program yang dilaksanakan turut akan menyediakan pelajar kepada revolusi industri 4.0,”katanya.

Dr Ag Asri berkata pihaknya mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Program Transformasi Luar Bandar atau lebih dikenali sebagai RTP, Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 (NBOS-4) untuk menjayakan program tersebut.

Program itu turut melibatkan empat orang pembantu daripada Pusat Internet 1 Malaysia (Pi1M) untuk memeriahkan program berkenaan.

Sementara itu, menurut Dr. Chin Kim On, program yang bermula pada jam 9 pagi hingga 4 petang ini melibatkan seramai 45 orang pelajar SMK Pekan II Kota Belud, 32 orang pelajar SMK Pekan Kota Belud, 29 orang pelajar SMK Usukan, dan 35 orang pelajar SMK Taun Gusi.

Pelajar-pelajar ini merupakan pelajar tingkatan 1 yang mengambil mata pelajaran Asas Sains Komputer.

Dr. Chin Kim On mengucapkan terima kasih kepada pengetua-pengetua sekolah kerana membenarkan FKI melaksanakan program berkenaan di sekolah-sekolah yang terlibat.

“Terima kasih juga kepada Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Haji Baharom Haji Hashim, Dr. Cheng Tsen Lui dari SMK Pekan II Kota Belud, Cikgu Noorshafarina Indeabejaya dari SMK Pekan Kota Belud, Cikgu Fatrina Minis dari SMK Taun Gusi dan Cikgu Hanah Demiki dari SMK Usukan yang sudi memberikan sokongan serta bantuan terhadap program ini,” tambah Dr. Chin Kim On.

Menurut beliau lagi, tenaga pengajar dari FKI menggunakan teknik pengajaran berasaskan pemikiran komputasional dalam mengendalikan program tersebut.

Dengan ini, pelajar luar bandar dapat meningkatkan daya saing seiring dengan pelajar bandar, memupuk pembelajaran sepanjang hayat, belajar secara berkumpulan, saling berkongsi idea serta ilmu dan meningkatkan minat pelajar dalam menceburi bidang sains komputer.

“Saya berharap kami akan mendapat sokongan yang berterusan daripada NBOS atau MOSTI atau mana-mana industry dan komuniti pada masa akan datang supaya program-program seperti ini, terutamanya untuk sekolah-sekolah luar bandar dapat dijayakan. Pendedahan pelajar luar bandar terhadap ilmu sains dan teknologi sama ada melalui pengaturcaraan visual mahupun Arduino ataupun raspberry pi adalah sangat penting. Dengan ini, secara tidak langsung bilangan pelajar yang mempunyai minat dalam bidang STEM (Science, Technology, Engineering, & Mathematics) akan turut bertambah pada masa hadapan. ”, ujar Dr. Chin Kim On lagi.

Kesemua tenaga pengajar dan fasilitator yang terlibat adalah merupakan pensyarah-pensyarah dari UMS, dan berkhidmat secara sukarela untuk menjayakan program ini.

Mereka berharap agar lebih ramai lagi pelajar luar bandar dapat didedahkan dengan ilmu sains dan teknologi melalui pengaturcaraan visual pada masa akan datang.

Tamat.