LABUAN - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah melatih seramai 150 orang guru menerusi Program Kemahiran Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer (CT/CS) bertempat di Fakulti Komputeran dan Informatik, Universiti Malaysia Sabah.

Program 5 hari seminggu untuk satu sesi ini telah dilaksanakan selama 10 minggu pada 17 April 2017 hingga 21 Julai 2017. 

Seramai 120 orang guru sekolah menengah dan 30 orang guru sekolah rendah dari seluruh Sabah terlibat dalam program ini, hanya 15 orang guru sahaja dilatih pada setiap sesi.

Objektif utama program ini adalah untuk mendedahkan guru-guru kepada kemahiran pemikiran komputasional serta pengaplikasian pedagogi BIC (Brain-based, Inquiry-based, and Computational Thinking-based) dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Selain itu, program ini juga adalah penting sebagai sebahagian daripada persediaan guru-guru untuk mengajar subjek Asas Sains Komputer (ASK) Tingkatan 1 serta subjek Sains Komputer (SK) Tingkatan 4 di sekolah-sekolah menengah seluruh Sabah.

Program Pemikiran Komputasional dan Sains Komputer ini adalah salah satu program di bawah inisiatif #mydigitalmaker yang merupakan inisiatif yang diterajui oleh MDEC bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, industri dan universiti untuk meningkatkan kemahiran digital dan berfikir aras tinggi dikalangan murid serta menyediakan mereka untuk menghadapi pasaran kerja baru ekonomi digital.

Sebelum program ini dilaksanakan, Pengerusi Digital Maker Hub (DMH) UMS, Prof. Madya Dr. Ag Asri Ag Ibrahim telah menghantar seramai lima orang pensyarah menghadiri latihan CT/CS yang dianjurkan oleh MDEC pada 27 Februari 2017 hingga 3 Mac 2017 tempat di Putrajaya.

Pensyarah-pensyarah yang terlibat adalah Prof. Madya Dr. Sabariah Shariff, Dr. Chin Pei Yee, Cik Asni Tahir, Cik Nordaliela Mohd Rusli dan Dr. Chin Kim On, selaku ketua rombongan. Dr. Chin Kim On juga merupakan Ketua Program Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian).

“Selain daripada CT/CS, DMH UMS turut menyediakan kursus-kursus seperti pengaturcaraan Python, Asas Arduino, pengaturcaraan visual dengan Scratch, dan pengaturcaraan visual aplikasi mudah alih. Kandungan kursus-kursus yang disediakan adalah bersesuaian untuk golongan pelajar sekolah-sekolah rendah dan menengah.” Kata Dr Ag Asri selaku Pengerusi DMH, UMS.

“Penawaran kursus-kursus di DMH UMS turut merupakan hasrat Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamaruddin D Mudin yang mana beliau mengalakkan dan ingin melihat UMS melalui FKI untuk menjadi pemangkin negeri sabah ke arah IR4.0”, katanya lagi.

Menurut Dr. Chin Kim On, program CT/CS ini bukan sahaja sesuai untuk guru yang mengajar subjek ASK serta SK, malah ianya juga penting dan sesuai untuk mana-mana guru kerana pedagogi BIC dalam kandungan program CT/CS ini merupakan satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang baru. Kandungan program CT/CS ini dapat meningkatkan kemahiran pemikiran komputasional seseorang individu.

Menurut beliau lagi, teknik pengajaran dan pembelajaran tradisional yang memaksa pelajar untuk membaca dan menghafal tidak lagi memberikan kesan yang baik kepada sesi pengajaran dan pembelajaran pada abad ke - 21. Pemikiran komputasional adalah penting untuk memberikan asas yang kukuh kepada generasi muda dengan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif berdasarkan konsep sains komputer, seperti penguraian, debugging, penjujukan dan algoritma. Murid akan diajar bagaimana untuk menggunakan konsep-konsep ini untuk menyelesaikan  masalah dunia sebenar, dan kemudiannya dapat menghasilkan penyelesaian secara inovatif.

“Teknik pengajaran dan pembelajaran menggunakan pedagogi BIC dapat memupuk tabiat pelajar untuk belajar sendiri menyelesaikan masalah dengan cara inovatif. Melalui aktiviti yang dilakukan, pelajar dapat berkongsi ilmu dengan pelajar yang lain, serta meningkatkan pemahaman tentang kandungan kursus dengan lebih mudah”, ujarnya lagi.

Tamat.