LABUAN – Kejohanan Sukan Empat Penjuru 2017 anjuran Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) akan bermula Jumaat ini (18-20 Ogos 2017).

Selain UMSKAL, tiga lagi pasukan yang akan menyertai sukan tiga hari itu ialah Perbadanan Labuan, PDRM dan Jabatan Kesihatan.

Empat pasukan tersebut akan menyertai acara badminton, bowling, pool, bola sepak, bola tampar lelaki dan wanita, bola jaring, dart dan golf.

Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah berkata kejohanan itu bertujuan untuk memberi peluang dan ruang kepada kakitangan agensi tersebut bersukan dan beriadah.

Beliau juga berharap menerusi program itu, ianya akan dapat mengeratkan lagi hubungan baik antara UMS Labuan dengan tiga agensi kerajaan itu.

“UMS Labuan mengambil inisiatif menganjurkan Kejohanan Sukan Empat Penjuru 2017 bagi mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin antara agensi kerajaan yang mengambil bahagian pada tahun ini,”katanya.

Turut hadir Pegawai Belia dan Sukan Kanan, Gabriel Moinjil selaku Setiausaha dan wakil Perbadanan Labuan, PDRM Labuan dan Jabatan Kesihatan.

Hadir sama penyelaras sukan terbabit.

Kontinjen UMS Labuan akan diketuai sendiri Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Dr Murnizam berharap program tahunan itu akan meningkatkan lagi semangat kesukanan dalam kalangan pegawai dan kakitangan masing-masing.

Katanya, menerusi program tersebut, pegawai dan kakitangan keempat-empat agensi dapat beramah mesra dan berinteraksi sekaligus mengetahui serba sedikit peranan mereka di Wilayah Persekutuan Labuan.

Kontinjen Perbadanan Labuan akan diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Azhar Ahmad, PDRM diketuai Ketua Polis Labuan, ACP Adzhar Othman dan Jabatan Kesihatan Labuan diketuai Pengarahnya, Dr Ismuni Bokhari.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah akan diadakan di Dewan Utama pada hari Ahad bermula pukul 12 tengah hari.

Tamat.