LABUAN – Seramai 16 pensyarah Kursus Perbankan Islam dan Keusahawanan, Kolej Profesional Mara Bandar Melaka (KPMBM) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 17 Ogos 2017.

Delegasi KPMBM yang diketuai Pengarahnya, Hayati Hashim telah mengadakan perbincangan dengan Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Hanudin Amin di Bilik Seminar Kiamsam, Bangunan Menara, UMS Labuan.

Turut menyertai perbincangan dua hala itu adalah Timbalan-timbalan Dekan FKAL, Dr. Mohd Rizal Abd Hamid (Penyelidikan dan & Inovasi) dan Dr. Mohd Fahmi Ghazali (Hal Ehwal Pelajar), Penyelaras PLUMS, Dr Anath Rau Krishnan dan Pensyarah Program HE23, Hazmi Dahlan serta Penolong Pendaftar Kanan, Norhanizah Adnan.

Delegasi KPMBM turut melawat Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu, Sabah.

Ketika di UMS Labuan, rombongan itu dibawa melawat lokasi melihat anak bulan di Aras 13 dan pejabat FKAL di Bangunan Menara.

Dekan FKAL, Prof Madya Dr Hanudin Amin berkata jaringan kerjasama itu membabitkan kursus dan program yang ditawarkan di fakulti tersebut.

Katanya, kerjasama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi khususnya pelajar dan pensyarah.

“FKAL akan sentiasa memberi ruang dan peluang kepada jalinan kerjasama dengan KPMBM khususnya yang membabitkan pelajar dan pensyarah,”katanya.

Dr Hanudin berharap lebih banyak kerjasama berkaitan akademik, penyelidikan dan hal ehwal pelajar akan diadakan dengan kolej tersebut pada masa akan datang.

Tamat.