Kota Kinabalu - Bengkel pembangunan permainan telah dianjurkan Malaysian Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) dan GameDev KK di SmartSpace Kota Kinabalu, Wisma Bandar Raya pada 19 hingga 20 Ogos 2017.

Di bawah tajuk "Pre-Industry Unity3D Training Development for Level Up Inc", matlamat bengkel ini adalah untuk memperkenalkan peserta kepada asas-asas pembangunan permainan, mendedahkan mereka kepada program sokongan pengembangan permainan digital di bawah MDEC dan meningkatkan hubungan antara pembangun permainan di sekitar Sabah dengan Industri.

Latihan ini disediakan oleh Alex Ong Chee Ren, pembangun permainan yang berpengalaman dan pengasas bersama Basic Game Studio.

Bengkel ini adalah sebahagian daripada program Level Up Inc MDEC, yang menggalakkan pembangun permainan di seluruh Malaysia untuk meningkatkan kemahiran pembangunan permainan mereka dan memberi sokongan untuk memulakan penglibatan mereka dalam industri.

Kumpulan seperti GameDev KK yang diketuai oleh Geoffrey Sinn Chun Hou, aktif dalam menggembleng usaha tempatan orang Sabah ke arah matlamat ini.

Dengan sokongan SmartSpace Kota Kinabalu dan agensi tempatan yang lain, kumpulan itu terus berkembang sejak ia ditubuhkan pada tahun 2016.

Salah seorang peserta Ahmad Izzudin Mohd Yusof dari Tuaran menyatakan, "Bengkel ini sangat baik untuk membangunkan pemikiran dan kebolehan penyelesaian masalah kami." Latihan menggunakan perisian Unity3D amat penting bagi pembangun-pembangun permainan.

"Saya amat seronok menyertai bengkel ini, kami belajar bagaimana membangunkan permainan video dan mempunyai peluang untuk memasuki industri pembangunan permainan," kata Candy Oghayon dari Kota Kinabalu.

Ahli akademik. Dr Zamhar Ismail, pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, beliau menghadiri bengkel ini untuk meningkatkan kemahiran dalam pembangunan permainan. Oleh kerana UMS berhasrat untuk menjadi Universiti Revolusi 4.0, kemahiran pengaturcaraan adalah penting untuk generasi graduan yang akan datang sama ada mereka menyertai industri permainan digital atau tidak.

GameDev KK komited untuk mengembangkan industri pembangunan permainan di Sabah. Matlamat mereka adalah penubuhan 5 studio pembangunan permainan di negeri ini.

Sebaik sahaja mereka ditubuhkan, studio-studio ini boleh memohon untuk fasa seterusnya program Level Up Inc iaitu penempatan 3 bulan di Kuala Lumpur. Sokongan kewangan diberikan kepada studio-studio ini semasa fasa ini.

Geoffrey Sinn berharap bengkel itu akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan komuniti pembangunan permainan di Sabah. Dalam perbualan semasa bengkel itu beliau menegaskan, "Saya percaya kita mempunyai banyak bakat di Sabah, dan pembangunan permainan boleh menjadi landasan bagi mereka untuk menonjolkan diri dan membina kerjaya daripada semangat mereka tanpa meninggalkan tanah air mereka.

Akhirnya, saya melihat Sabah mempunyai potensi untuk menjadi pusat pembangunan kandungan digital dalam masa terdekat." Dengan sokongan berterusan dari agensi-agensi berkaitan, harapan pihak-pihak yang terlibat adalah Sabah boleh menghasilkan permainan digital yang popular dan berjaya.

Tamat.