Labuan – Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) bakal menerima kira-kira 668 pelajar baharu bagi sesi pengajian akademik 2017/2018.

Bagaimanapun jumlah tersebut dijangka bertambah selepas proses rayuan diluluskan Kementerian Pendidikan Tinggi pada bulan September depan.

Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Halik (gambar) berkata daripada jumlah tersebut, seramai 575 akan mengikuti pengajian mereka di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) manakala 93 lagi di Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Katanya, setakat ini, seramai lapan pelajar antarabangsa sudah pun menerima tawaran ke UMS Labuan iaitu tujuh dari Brunei Darussalam dan seorang dari Bangladesh.

Beliau berkata FKAL menawarkan 5 program Sarjana Muda dalam bidang-bidang Kewangan Antarabangsa, Perbankan Antarabangsa dan Luar Pesisir, Pemasaran Antarabangsa, Ekonomi Kewangan Antarabangsa dan Kewangan Islam.

Manakala FKI menawarkan dua program Sarjana Muda Sains dalam bidang Teknologi Multimedia dan Teknologi Maklumat (E-Dagang).

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pelajar dari Sabah, Sarawak, Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan yang memilih UMS Kampus Antarabangsa Labuan serta pelajar antarabangsa sebagai pilihan utama mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bagi sesi 2017/2018,”katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Dr Murnizam bagi pihak Naib Canselor UMS, Prof Dr D Kamaruddin D Mudin mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran pelajar baharu ke Wilayah Persekutuan Labuan yang mempunyai kira-kira 100,000 penduduk.

Dalam pada itu, sesi pendaftaran pelajar baharu itu akan diadakan di Dewan Utama UMS Labuan pada 3 (Ahad) dan 4 September (Isnin) 2017.

Beliau berkata seramai 79 Pembimbing Suai Mesra (PSM) dan kakitangan UMS Labuan akan terbabit dalam program Minggu Suai Mesra (MSM) pada 5 hingga 9 September 2017.

Antara program tersebut ialah Amanat Pengarah UMSKAL, Majlis Ikrar dan Aku Janji, program bersama FKAL dan FKI serta Malam Persembahan Bakat.

“Sepanjang mengikuti MSM selama empat hari itu, pelajar baharu akan mendapat pelbagai info mengenai UMSKAL secara keseluruhannnya, FKAL dan FKI serta Alumni dan Persatuan di universiti,”katanya.

Dr Murnizam tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada PSM dan kakitangan UMS Labuan yang membantu menjayakan program MSM bagi sesi 2017/2018.

Tamat.