LABUAN - Kewujudan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang bermula pada 1999 sehingga kini telah banyak membantu merancakkan pembangunan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Bilangan pelajar, pensyarah dan kakitangan UMSKAL sedikit sebanyak membantu menjana ekonomi dari segi keperluan perumahan, pengangkutan, kuasa beli, kraftangan dan produk serta hasil keluaran tempatan.

Malah, jika ahli keluarga atau rakan-rakan anda selain pegawai UMS dari luar berkunjung ke Labuan sudah tentu mereka akan berbelanja di wilayah ini sekaligus merancakkan industri pelancongan tempatan.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Haji Bashir Haji Alias berkata Labuan yang telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984 kini mempunyai kira-kira 100,000 orang penduduk dan ianya tentu bertambah dengan kehadiran pelajar UMSKAL.

Bashir berkata selaras dengan gagasan 1Malaysia, beliau melihat UMSKAL adalah contoh terbaik wujudnya perkongsian pelbagai agama dan bangsa daripada suku kaum di Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang akan bertembung dengan masyarakat suku kaum Brunei dan Kadayan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Saya juga yakin dan percaya, sejak adanya UMSKAL ini, ianya telah menaikkan semangat pelajar sekolah rendah dan menengah serta golongan muda untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Mereka menjadikan UMSKAL sebagai lambang dan kayu pengukur betapa perlunya mereka memiliki ilmu sehingga ke peringkat tertinggi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Persembahan Bakat Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2017/2018 UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Dewan Utama UMSKAL, pada 8 September 2017.

Turut hadir Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr. Murnizam Halik, Timbalan Pengarah UMSKAL merangkap Pengerusi MSM Sesi 2017/2018, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Dekan Fakulti Komputeran Dan Informatik (FKI), Prof. Madya Dr. Ag Asri Ag. Ibrahim dan Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohammad Tuah serta Ketua Pengarah MSM, Mohd Fadzil Mohd Arfah.

Bashir berkata sudah tentu kehadiran pelajar baharu itu ke pulau bebas cukai ini akan memberi impak yang sangat besar kepada Wilayah Persekutuan Labuan.

Antara impak atau kesan yang dapat dilihatĀ  ialah pembangunan, ekonomi, pelancongan, pertambahan penduduk, pertukaran budaya dan menaikkan semangat anak muda tempatan.

Oleh itu, Bashir menasihatkan siswa-siswi supaya merebut ruang dan peluang yang terbuka luas ini untuk mempelajari adat dan budaya masyarakat di 27 buah kampung di Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau juga mahu memastikan UMSKAL mengadakan program dan aktiviti bersama masyarakat di Labuan seperti projek anak angkat, gotong-royong, aktiviti keagamaan dan keusahawanan serta pendidikan.

Tidak keterlaluan dikatakan, mahasiswa UMSKAL adalah duta kecil Wilayah Persekutuan Labuan dalam semua aspek apabila mereka berada di kampung atau di tempat lain termasuk di luar negara.

Sehubungan itu, Bashir menasihatkan siswa-siswi supaya sentiasa menjaga nama baik diri sendiri, keluarga, UMSKAL, Wilayah Persekutuan Labuan dan Malaysia secara keseluruhannya kerana jika terbabit dengan gejala kurang baik ianya akan menjejaskan pembelajaran di universiti.

Pada masa sama, Bashir menjemput ahli keluarga dan rakan-rakan untuk mengunjungi Labuan bukan sahaja untuk menjenguk mereka tetapi untuk membeli-belah, melawat tempat bersejarah dan menarik di Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi mewakili Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan seluruh penduduk Wilayah Persekutuan Labuan yang sejahtera ini, Bashir mendoakan semoga pelajar terus cekal menghadapi pengajaran dan pembelajaran serta kehidupan kampus dan yang lebih penting adalah bersama-sama membangunkan serta menaikkan nama Wilayah Persekutuan Labuan.

Tamat.