LABUAN - Dekan Fakulti Komputeran Dan Informatik (FKI), Prof. Madya Dr. Ag Asri Ag. Ibrahim telah mengadakan perjumpaan dengan pelajar baharu FKI UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Sesi 2017/2018 pada 8 September 2017.

Perjumpaan tersebut yang diadakan di Podium D, Bangunan Menara itu dihadiri 75 pelajar Tahun Satu Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Turut hadir Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) FKI, Dr Zamhar Iswandono Awg Ismail dan pensyarah.

Ag Asri berkata universiti adalah tempat untuk pelajar berfikir semua perkara termasuk berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat kepada mereka.

Ini kerana, katanya, sepanjang pengajian tiga hingga empat tahun di universiti, pelajar akan terus didedahkan dengan perkara baru yang memerlukan mereka memerah otak untuk berfikir.

“Pelajar kena terus berusaha gigih bukan sahaja untuk mendapat keputusan cemerlang tetapi juga memikirkan masa depan selepas menamatkan pengajian kelak,”katanya.

Beliau berharap pelajar sentiasa meminta pandangan dan nasihat pensyarah selaku mentor mereka khususnya yang berkaitan akademik.

Katanya, kegagalan pelajar untuk berinteraksi secara berterusan dengan pensyarah akan mengakibatkan mereka lambat mendapat ilmu berkaitan kursus yang mereka ambil di FKI.

Ag Asri turut meminta pelajar supaya berusaha lebih gigih meningkatkan imej FKI dan UMS secara keseluruhannya di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa dalam pelbagai bidang.

Pelajar tersebut akan mengikuti pengajian dalam bidang Teknologi Multimedia (HC12) dan Komputeran Perniagaan (HC13).

Tamat.