LABUAN – Kewujudan Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menaikkan semangat pelajar SMK Labuan yang mengadakan lawatan sambil belajar ke kampus tersebut pada 20 September 2017.

Seramai 20 pelajar SMK Labuan yang masing-masing disertai 10 ahli Kelab Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan 10 ahli Kelab 1Malaysia mengunjungi UMS Labuan bersama tiga guru pengiring.

Tiga guru tersebut ialah Guru Penasihat Kelab PNB, Zarinah Md Ghauth dan dua guru penasihat Kelab 1Malaysia, Siti Juhaidah Sani dan Evelyn Modiun.

Menurut Zarinah, lawatan tersebut bertujuan untuk mendedahkan ahli kelab yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga itu suasana pembelajaran dan kehidupan di menara gading khususnya UMS Labuan.

Beliau berharap menerusi lawatan singkat itu, pelajar terbabit akan mendapat ilmu berkaitan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

“Kami berharap lawatan itu akan memberi motivasi kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang,”katanya.

Zarinah berkata Pengetua SMK Labuan, Ismail Abdullah sentiasa memberi dorongan kepada pelajar untuk mengadakan lawatan ke UMS Labuan yang menjadi lambang kepentingan pendidikan tinggi kepada pelajar di Labuan.

Sementara itu, ketibaan rombongan pelajar SMK Labuan disambut oleh Penolong Pendaftar Kanan, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Norhanizah Adnan dan Penolong Pegawai Tadbir, Sektor Pentadbiran, Mohizam Mohamad yang kemudiannya menyampaikan taklimat di Bilik Seminar Kiamsam.

Mohizam yang mewakili Timbalan Pendaftar Kanan UMS Labuan, Zamri Haji Mohamad Tuah sentiasa mengalu-alukan kunjungan pelajar dan guru ke kampus tersebut sekaligus memberi pendedahan kepada pelajar kehidupan dan pembelajaran di menara gading.

Ahli Kelab PNB dan 1Malaysia itu turut melawat Perpustakaan, Makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Tingkat 9 dan meninjau pemandangan menarik di Tingkat 13, Bangunan Menara UMS Labuan.

Tamat.