LABUAN - Pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan dan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu bersedia menghadapi ledakan Industri 4.0.

Itu yang ditekankan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Dr Zamhar Iswandono Ismail ketika menyampaikan taklimat mengenai FKI kepada pelatih ILP Labuan yang mengadakan lawatan sambil belajar ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 26 September 2017.

Sehubungan itu, Zamhar yang mewakili Dekan FKI, Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim menasihatkan mahasiswa UMSKAL dan pelatih ILP supaya belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berupaya bersaing dengan graduan lain selepas menamatkan pengajian kelak.

“Persaingan dalam dunia kerjaya semakin mencabar tambahan lagi negara sedang menuju ke aras Industri 4.0. Mahasiswa UMSKAL dan pelatih ILP Labuan seharusnya merebut ruang dan peluang yang disediakan agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pemodenan negara,”katanya.

Seramai 11 pelatih ILP Semester Dua yang mengambil Kursus Teknologi Komputer Sistem menyertai lawatan industri tersebut sebagai pendedahan mengenai pembelajaran dan pengajaran di UMS Labuan.

Rombongan ILP itu turut disertai dua Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Mohd Hafez Mohd Khalid dan Nizam Enduny @ Arrifin yang juga tenaga pengajar di ILP Labuan.

Turut menyampaikan taklimat ialah Ketua Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (STMK), Ismatzulfikar Ahmad Shaffee dan Penolong Pegawai Tadbir, Sektor Pentadbiran, Mohizam Mohamad yang menyampaikan taklimat mengenai pentadbiran UMS Labuan.

Sementara itu, menurut Mohd Hafez, lawatan itu bertujuan untuk memberi pendedahan dan gambaran awal persekitaran industri kepada pelajar sebelum menjalani latihan industri dan memasuki alam pekerjaan.

Selain itu untuk mempelajari sistem dan perkakasan yang dignakan di makmal teknologi maklumat.

“Lawatan itu juga untuk menjalin kerjasama dua hala antara ILP Labuan dengan UMS Labuan. Kami berharap pelatih dapat mempelajari sesuatu yang baharu mengenai keselamatan ICT yang digunakan,”kata Mohd Hafez.

Sempena lawatan itu, pelatih ILP melawat makmal FKI dan menikmati pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan dari Aras 13, Bangunan Menara UMS Labuan.

Tamat.