LABUAN – Kira-kira 100 golongan wanita telah menjayakan Sambutan Hari Wanita 2017 peringkat Perpustakaan UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang diadakan di Bilik Pulau Labuan, Perpustakaan UMS Labuan pada 27 September 2017.

Mereka terdiri daripada ahli Kelab Suri dan Staf Wanita UMS (Kesumba) UMSKAL, Puspanita Labuan, Perkep Labuan, Hawa dan Persatuan Ibu Tunggal Labuan.

Program anjuran Perpustakaan UMSKAL dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Labuan itu turut dihadiri kakitangan dan pelajar UMS Labuan.

Pada program itu, peserta mendengar ceramah bahaya penyakit kanser payudara dan kanser serviks serta cara pencegahannya yang disampaikan oleh Ketua Jururawat, Klinik Nur Sejahtera LPPKN Labuan, Rohana Jahidi.

Program itu dimeriahkan dengan demonstrasi dekorasi cup cake daripada Zedda Food Supplies dan demonstrasi kecantikan tatarias wajah daripada MUA Anna De Angel dan Atomy Malaysia.

Turut diadakan pemeriksaan kesihatan, pameran dan jualan produk kesihatan, urutan tradisional, penjagaan kesihatan, kraftangan dan akademi masakan, pembuatan kek dan pastri.

Menurut Pengerusi Penganjur, Dayang Ruhidah Raplee, program itu bertujuan untuk memberi ransangan kepada kaum wanita supaya terus bergiat lebih aktif ke arah pembangunan keluarga, ekonomi, masyarakat dan negara.

Selain itu untuk memberi informasi mengenai penjagaan kesihatan wanita dan memberi kesedaran kepada wanita bahaya penyakit.

“Program itu juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala antara warga UMS Labuan dengan masyarakat setempat di Wilayah Persekutuan Labuan khususnya persatuan wanita,”katanya.

Dayang Ruhidah turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik, Penasihat Program, Baharin Entoh dan Penyelaras Program, Dayang Siti Norashikin Jainal.

“Terima kasih juga kami tujukan kepada semua kakitangan Perpustakaan UMS Labuan yang komited menjayakan program anjuran Perpustakaan dengan kerjasama LPPKN Labuan, “katanya.

Tamat.