LABUAN – Seramai 45 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Mutiara begitu gembira ketika mengadakan lawatan mesra ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), pada 28 September 2017.

Rombongan sekolah itu diketuai Penolong Kanan PPKI, Awangku Kalong Pg Mahmud bersama 23 guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) serta 10 orang ibu bapa.

Menurut Penyelaras Program, Rosnani Sahari lawatan itu bertujuan untuk memberi peluang kepada murid untuk melihat secara dekat suasana pembelajaran di universiti awam.

Selain itu, memberi pendedahan kepada murid tentang penggunaan teknologi maklumat dan kepentingannya dalam dunia pendidikan.

“Lawatan itu juga untuk mengeratkan hubungan di antara ibu bapa murid dan semua warga sekolah khususnya guru-guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) PPKI SMK Mutiara,”katanya.

Sempena lawatan itu, Pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Dr Joe Henry menyampaikan taklimat mengenai program yang ditawarkan di fakulti tersebut.

Joe Henry yang mewakili Dekan FKI, Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim berharap murid PPKI SMK Mutiara itu akan mendapat pelbagai ilmu tambahan mengenai pendidikan tinggi di UMS Labuan khususnya di FKI.

Penolong Pegawai Tadbir, Sektor Pentadbiran, Mohizam Mohamad turut menyampaikan taklimat mengenai pentadbiran UMS Labuan di Bilik Seminar Kiamsam, Bangunan Menara.

Sempena lawatan itu, murid tersebut melawat makmal FKI di Aras 9 dan menikmati pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan dari Aras 13, Bangunan Menara UMS Labuan yang juga lokasi cerapan anak bulan.

Mereka turut melawat Perpustakaan untuk melihat sendiri bahan bacaan yang terdapat di menara gading.

Sementara itu, Rosnani mengucapkan terima kasih kepada Pengetua SMK Mutiara, Louren Abon, PIBG SMK Mutiara, Penyelaras PPKI, Roslaniah Zainal dan Penyelaras Program, Nurul Hidayah Abd Rahim, guru-guru PPKI dan PPM serta ibu bapa murid yang terlibat dalam lawatan mesra tersebut.

Tamat.