LABUAN – Seramai 60 peserta yang terdiri daripada guru-guru Pusat Sumber sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai Bengkel Eksplorasi Perpustakaan Digital Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Makmal UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 28 September 2017.

Bengkel sehari itu dikendalikan dua tenaga pengajar dari PNM iaitu Penolong Pengarah Kanan Bshagian Sumber Elektronik PNM, Tamimi Haji Taib dan Penolong Pengarah Bahagian Gerakan Literasi Maklumat PNM, Zuliana Ab Rashid.

Turut menyertai bengkel yang diadakan di Megalab UMSKAL, Aras 1, Bangunan Menara UMSKAL itu ialah kakitangan Perpustakaan Perbadanan Labuan, Kolej Matrikulasi Labuan, Kolej Vokasional Labuan dan kakitangan agensi kerajaan.

Manakala bengkel yang diadakan di Investment Lab, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Aras 7, Bangunan Menara UMSKAL pula disertai pensyarah FKAL dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) serta Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB).

Bengkel tersebut dilaksanakan untuk mempromosikan perkhidmatan u-Pustaka yang dapat diakses oleh seluruh rakyat Malaysia pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui www.u-pustaka.gov.my.

Menurut Pustakawan Kanan, Perpustakaan UMSKAL, Baharin Entoh, antara objektif bengkel tersebut ialah memulakan kerjasama di antara PNM dan UMS untuk menggalakkan perkongsian maklumat digital yang disediakan PNM untuk kegunaan pengguna terutamanya dalam kalangan pensyarah dan pelajar.

Selain itu, mempromosikan keahlian portal u-pustaka dan menggalakkan penggunaan pangkalan data PNM yang sesuai dengan keperluan maklumat sasaran pengguna.

“Memberi kemahiran secara khusus melalui kaedah TOT (training of trainers) kepada pustakawan, pelajar dan pensyarah mengenai perkhidmatan, penggunaan pangkalan data dan proses peminjaman buku bercetak dan buku elektronik yang disediakan dalam portal u-pustaka.

Baharin tidak lupa mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik dan kakitangan Perpustakaan UMSKAL yang komited menjayakan bengkel tersebut.

Tamat.