LABUAN – Kira-kira 550 pelajar menjayakan Minggu Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sejak 2 Oktober 2017.

Menurut Penyelaras PPIB, Dr Romzi Ationg, PPIB Week 2017 yang julung kalinya diadakan mahu menterjemahkan slogan PPIB ‘Menginsankan Manusia’ kepada peserta khususnya pelajar UMS Labuan sendiri.

Selain itu, katanya, untuk memperkenalkan kursus yang ditawarkan PPIB di UMS Labuan kepada pelajar baharu sesi 2017/2018.

“PPIB mahu melahirkan pelajar yang matang, kreatif dan berinovasi tinggi menerusi pelbagai program yang dijalankan sepanjang berlangsungnya PPIB Week 2017 pada 2 hingga 6 Oktober,”katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan pameran kitar semula anjuran pelajar kursus Alam Sekitar dan Masyarakat di ruang legar, Bangunan Menara UMS Labuan pada 5 Oktober 2017.

Turut hadir Pensyarah Alam Sekitar dan Masyarakat, Nurul Ain Zulhemi, pensyarah dan kakitangan serta pelajar.

Pameran dan pertandingan kitar semula itu disertai 120 pelajar daripada 40 kumpulan.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk tayangan video, pameran poster, pameran karya bercetak, pameran keratan akhbar, pertandingan sahiba Bahasa Arab, kuiz alam sekitar, story telling Kadazandusun, pertandingan pembentangan, public speaking, kahoot game dan mencari harta karun.

Romzi berkata semua acara itu disertai pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) serta PPIB.

Majlis penutupan akan diadakan petang ini (Jumaat) di Dewan Kuliah Pusat yang dijadual disempurnakan oleh Pengarah UMS Labuan, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Tamat.