LABUAN – Mahasiswa disaran agar meneruskan ilmu yang dipelajari dan diperolehi di universiti walaupun sudah menamatkan pengajian di menara gading.

Saranan itu dinyatakan oleh Timbalan Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal ketika menyempurnakan majlis penutupan Minggu Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) @ PPIB Week 2017 di Dewan Kuliah Pusat pada 6 Oktober 2017.

Turut hadir Penyelaras PPIB, Dr Romzi Ationg, pensyarah dan pelajar PPIB.

Kira-kira 550 pelajar menyertai pelbagai pertandingan sempena PPIB Week yang diadakan sejak 2 Oktober lalu.

Dr Geoffrey berkata ilmu yang diberikan pensyarah sukar diperolehi lagi kerana selepas menamatkan pengajian, mahasiswa perlu menghadapi cabaran dalam kerjaya dan kehidupan berkeluarga.

Selain itu, beliau mencadangakn supaya PPIB Week dibuka kepada masyarakat setempat khususnya yang melibatkan penduduk di 27 buah kampung di Wilayah Persekutuan Labuan di samping pelajar sekolah rendah dan menengah serta belia.

Pada masa sama, Dr Geoffrey mahu mahasiswa turut menguasai lebih daripada satu bahasa bagi memudahkan mereka melepasi temuduga.

“Saya menasihatkan mahasiswa supaya mengamalkan nilai-nilai murni ketika berhadapan dengan orang lain termasuk pensyarah, rakan-rakan dan masyarakat tempatan,”katanya.

Sementara itu, menurut Dr Romzi, PPIB Week 2017 yang julung kalinya diadakan mahu menterjemahkan slogan PPIB ‘Menginsankan Manusia’ kepada pelajar UMS Labuan sendiri.

“PPIB Week diadakan untuk memperkenalkan kursus yang ditawarkan PPIB di UMS Labuan kepada pelajar baharu sesi 2017/2018,”katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk tayangan video, pameran poster, pameran karya bercetak, pameran keratan akhbar, pertandingan sahiba Bahasa Arab, kuiz alam sekitar, story telling Kadazandusun, pertandingan pembentangan, public speaking, kahoot game dan mencari harta karun.

Romzi tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Pengarah UMS Labuan, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik, Dr Geoffrey, pensyarah dan pelajar yang menjayakan PPIB Week 2017.. 

Tamat.