LABUAN: Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (Kesumba) akan terus membantu Pusat Pengembangan Autisme UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Yang Dipertua Kesumba UMS, Datin Roha Asmara berkata pihaknya begitu prihatin dengan kebajikan pusat tersebut yang masih memerlukan bantuan dan sumbangan daripada orang ramai.

Justeru itu, beliau menyeru semua pihak termasuk golongan korporat, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan orang ramai untuk tampil ke hadapan membantu menyalurkan bantuan kewangan untuk meringankan Pusat Perkembangan Autisme UMSKAL itu.

“Kesumba akan terus membantu Pusat Pengembangan Autisme UMS Kampus Antarabangsa Labuan bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga nasihat dan kepakaran lain yang dimiliki kakitangan, pensyarah dan ahli Kesumba sendiri,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kewangan kepada Pengerusi Persatuan Autisme Labuan, Zakiah Hassan di Pusat Pengembangan Autisme UMS Kampus Antarabangsa Labuan pada 27 Oktober 2017.

Turut hadir Pengerusi Kesumba UMSKAL, Hayati Salleh Baihaki, Setiausaha Kehormat Kesumba, Stella Nurul Martini Gontol dan Exco Tertinggi Kesumba UMS dan UMS Labuan.

Taklimat mengenai Pusat Pengembangan Autisme itu disampaikan oleh Pengarah Pusat Perkembangan Autisme UMSKAl, Shafrry Mohd Sarif.

Roha turut menyampaikan sumbangan alat bantu mengajar (ABM), rak buku dan rak kasut daripada Kesumba KAL kepada Taska Permata Kemas yang diwakili Pemaju Masyarakat Taska Permata Kemas, Siti Khatijah Haji Lakat.

Taska Permata Kemas yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) mempunyai 25 kanak-kanak yang berusia antara 2 hingga 4 tahun yang dijaga oleh 7 Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela.

Terdahulu delegasi Kesumba mengadakan kunjungan hormat terhadap Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik yang juga Penasihat Kesumba UMSKAL di Kesumba Biz and Beat, Aras 11, Bangunan Menara UMSKAL, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua-ketua Sektor UMSKAL, Exco dan ahli Kesumba KAL.

Roha yang juga isteri kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin selaku Penasihat Kesumba berkata kunjungan Kesumba ke Wilayah Persekutuan Labuan itu adalah untuk mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin antara ahli di Kampus Induk dan UMS Labuan.

“Kunjungan ke UMS Labuan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dengan ahli kelab tersebut di UMS Labuan. Menerusi kunjungan itu juga kami dapat melihat pembangunan pesat Labuan yang telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984,”katanya.

Tambah beliau, sumbangan kewangan dan peralatan tersebut adalah daripada yuran yang dibayar ahli Kesumba untuk membantu golongan yang memerlukan terutama anak-anak autisme.

Katanya, Kesumba akan terus membantu dan prihatin dengan keperluan anak-anak autisme di Wilayah Persekutuan Labuan.

Pada masa sama, Roha merakamkan ucapan penghargaan kepada Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik yang sentiasa berganding bahu dengan Kesumba KAL termasuk membantu kelab tersebut menjana pendapatan bagi menjalankan program sepanjang tahun.

Sementara itu, menurut Hayati, Kesumba KAL juga akan mengadakan aktiviti yang membabitkan masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan (NGO wanita di Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pengurusan UMSKAL yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada pelbagai aktiviti yang dianjurkan Kesumba UMSKAL selama ini.

Dalam ucapannya, Dr Murnizam menghargai komitmen ahli Kesumba KAL yang banyak membantu menjayakan pelbagai program yang membabitkan pelajar dan kakitangan UMS Labuan.

Pada sebelah petang, delegasi Kesumba mengadakan senam tari dengan ahli Kesumba UMS Labuan di Dewan Utama.

Tamat.