LABUAN – Seramai 45 pensyarah menghadiri Retreat Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) 2017 yang diadakan di Dewan Theatrette, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) selama dua hari pada 28-29 Oktober 2017.

Majlis perasmian dan ucap utama disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pembangunan Cukai dan Perniagaan Labuan FSA, Abdul Salam Chandran yang menyampaikan taklimat mengenai Halatuju Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa.

Turut hadir Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Hanudin Amin.

Sempena retreat tersebut, pihak FKAL telah melantik tiga orang penilai dari luar iaitu Prof Dato’ Dr Ahmad Zubaidi Baharumshah dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Rosminah Mohd Roslin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Prof Madya Dr Zamri Ahmad dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut Dr Hanudin, retreat dua hari itu bertujuan untuk menilai semula kurikulum program pengajian di fakulti tersebut.

Selain itu, untuk menilai kepentingan kerjasama dengan pihak industri termasuk Labuan FSA dan memantapkan lagi pakej latihan industri FKAL.

“Retreat itu juga untuk mendapatkan maklum balas program pengajian daripada penilai luar yang dilantik FKAL,”katanya selepas majlis perasmian retreat tersebut.

Dr Hanudin juga berharap menerusi retreat tersebut, pensyarah akan bertukar-tukar pendapat bagi meningkatkan kecemerlangan FKAL khususnya di bidang akademik hingga ke peringkat antarabangsa.

Turut diadakan perbincangan dalam program dan pengenalan kepada kurikulum dan sesi pengajaran.

Dua pensyarah FKAL, Samsulbahri Mohd Nasir dan Iftekhar Amin Chowdhury menyampaikan taklimat mengenai latihan industri.

Sebelum majlis penutupan oleh Dr Hanudin, ketua program akan membentangkan hasil perbincangan mengenai kurikulum di setiap program di fakulti tersebut.

Tamat.