LABUAN – Pada 29 Oktober 2017 Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan ceramah agama sempena Program Negaraku Apa Kata Gen Y 2017 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Ceramah yang diadakan di Masjid Al-Hikmah, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) selepas solat Maghrib itu disampaikan oleh Ketua Imam Masjid Jamek An-Nur, Ustaz Mohd Najeeb Abdul Rahim bertajuk ‘Cabaran Beragama Gen Y’.

Turut menghadiri ceramah itu ialah Pengarah Geraksaraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan Malaysia, Haji Masnoor Ashaari, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Azman Sipan, Timbalan Pendaftar Kanan UMS Labuan, Zamri Haji Mohamad Tuah dan Pengerusi Masjid Al-Hikmah, Azmi Abdullah.

Azman berkata ceramah agama itu memberi ruang dan peluang kepada jemaah khususnya mahasiswa untuk mendapatkan lebih banyak ilmu mengenai cabaran beragama Gen Y.

Beliau berharap mahasiswa sebagai generasi pewaris kepimpinan negara akan menjadi insan yang cemerlang serta memiliki ilmu agama yang seimbang.

“Selepas solat Isyak pula diadakan tayangan layar bestari di kafetaria UMS Kampus Antarabangsa Labuan,”katanya.

Majlis itu juga diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara Jabatan Penerangan Labuan dengan warga UMS Labuan.

Pada akhir majlis, Haji Masnoor menyampaikan cenderamata kepada Mohd Najeeb dan Azmi Abdullah.

Tamat.