LABUAN – Lebih 600 pelajar telah menjayakan Program Forum # Negaraku 'Apa Kata Gen Y' peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat 1, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 30 Oktober 2017.

Majlis perasmian program anjuran Jabatan Penerangan Labuan itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Haji Bashir Haji Alias.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Haji Ibrahim Abd Rahman, Pengarah Geraksaraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan Malaysia, Haji Masnoor Ashaari, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Azman Sipan dan Timbalan Pendaftar Kanan UMS Labuan, Zamri Haji Mohamad Tuah.

 Hadir sama Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Khalid Abd Ghani dan Datuk Hajah Aini Safar, ketua-ketua kampung dan pemimpin Komuniti 1Malaysia (K1M) serta pensyarah dan kakitangan universiti.

Forum itu menampilkan empat pelajar UMS Labuan iaitu pelajar Tahun 3, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Tan Eu Zin, pelajar Tahun 2 FKAL, Dg Siti Syazwani Awang Aim, pelajar Tahun 2 FKAL, Loga Nayage Kathiresan dan Steveandey Lee Shiang pelajar Tahun 3, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Manakala dua Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Dr Nordi Achie dan Dr Siti Katijah Haji Johari bertindak sebagai moderator.

Ibrahim mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan UMSKAL dalam menjayakan program tahunan Jabatan Penerangan Malaysia itu.

Beliau berharap lebih banyak jalinan kerjasama dapat diadakan untuk mengendalikan program anjuran Japen pada masa akan datang.

Sementara itu, Bashir berkata menerusi program itu ianya dapat menyemai dan menyemarak semangat patriotik dan jati diri dalam kalangan generasi y khususnya di peringkat institusi pengajian tinggi di Pulau Labuan ini.

Beliau mengucapkan syabas dan terima kasih kerana memilih Labuan sebagai salah satu lokasi penganjuran forum gen y oleh Jabatan Penerangan Malaysia kerana program ini mempunyai iltizam dan perancangan tersusun untuk menyemaikan semangat patriotisme dan jati diri dalam kalangan generasi y. 

Katanya, program berbentuk forum #negaraku ”apa kata gen y” ini  bertujuan untuk membuka corak pemikiran pemimpin masa depan dengan melihat sejauh mana pandangan, harapan dan keyakinan “generasi y” terhadap halatuju kepimpinan negara.

“Generasi Y hari ini haruslah bersemangat patriotik dan mempunyai jati diri tinggi bagi memastikan negara mencapai kemajuan dan keamanan yang berterusan, sebagai generasi pelapis negara, anda harus mempunyai cita-cita besar untuk mencorakkan negara ini menjadi negara maju dan harmoni,”katanya.

Katanya, banyak program kenegaraan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan bertujuan untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia melalui aktiviti seperti ini, generasi G di pulau Labuan ini dapat  menghayati dan mengamalkan kehidupan sejajar dengan prinsip Rukun Negara.

“Ia juga bersesuaian dengan tema Hari Kebangsaan 2017, iaitu “Negaraku Sehati Sejiwa” yang perlu dipupuk dalam kalangan generasi Y bagi menjayakan cita-cita negara menjadi negara maju, berpendapatan tinggi, makmur dan aman sentosa,”katanya.

Bashir berasa bangga dan syukur kerana Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menyediakan tempat bagi penganjuran forum #negaraku 'apa kata gen y' 2017 yang mana usaha ini perlu diberi pujian.

Selain lokasi kampus ini yang berada di pesisiran pantai berhadapan dengan Laut China Selatan dengan pemandangan pantai yang indah menjadikan suasana kampus yang damai, harmoni dan kondusif, amat sesuai untuk persekitaran pembelajaran.

Katanya, kehadiran pelajar UMSKAL menunjukkan bahawa mahasiswa dan mahasiswi amat peka terhadap isu-isu yang dikaitkan dengan generasi Y yang mana kehadiran yang begitu menggalakkan ini menunjukkan pelajar UMSKAL juga mempunyai nilai patriotisma dan jati diri yang begitu tinggi.

“Saya percaya pelajar UMSKAL merupakan golongan terpelajar yang bakal menjadi aset kepada negara yang mana halatuju akademik UMSKAL ialah untuk mencapai kecemerlangan kesarjanaan akademik bertaraf antarabangsa dalam pelbagai program sesuai dengan jolokan Labuan sebagai sebuah Pusat Kewangan  Antarabngsa yang berteraskan kecemerlangan ilmu ke arah pembangunan masyarakat dan negara,”katanya.

Beliau juga optimis pelajar UMSKAL telah diajar, dididik, dibimbing dan dibentuk secara holistik, dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif, disokong oleh kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap, terkini dan canggih untuk melahirkan insan berminda kelas pertama yang mampu menerajui cabaran dunia pada masa akan datang, untuk kemajuan masyarakat dan negara.

Beliau turut menasihati generasi y agar lebih berhati-hati untuk memilih maklumat dalam media tersebut yang mana maklumat hendaklah ditapis dan tidak diterima bulat-bulat. 

“Hari ini banyak maklumat palsu, berunsur tohmah dan fitnah disebarluas serta diviral untuk mempengaruhi jiwa dan minda masyarakat. sekiranya maklumat palsu, berunsur provokatif dan negatif ini dikongsi tanpa memikirkan akibatnya sudah tentu memberi kesan buruk terhadap hubungan antara kaum, agama dan budaya.”katanya.

Tambah Bashir, untuk menyuarakan masalah dan isu, banyak cara dan pendekatan yang boleh digunapakai bagi mengatasi isu dan masalah yang mana kerajaan sentiasa mendahulukan rakyatnya dan mengambil pandangan bagi merealisasikan konsep 1Malaysia ‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’.

Justeru, katanya, generasi Y terutama yang berpendidikan harus memahami dan menghayati proses dan amalan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. 

Bashir percaya, golongan generasi Y khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan ini hari ini mampu untuk mengubah destinasi kehidupan untuk memajukan keluarga, organisasi dan negara. semangat yang kental, berani, berkreativiti dan berinovasi tinggi boleh mengubah corak kehidupan.

Tamat.