LABUAN – Pada 2 November 2017, seramai 30 murid Tahun 5 Genius Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS) mempelajari pembikinan filem pada program E-Komuniti Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Makmal FKI, Tingkat 7, Bangunan Menara, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Rombongan sekolah itu diketuai Mohd Noor Izuan Anuar bersama dua guru pengiring, Narimin Naridin dan Dayana @ Diana Issu.

Menurut Penyelia Program, Nona Masnie Mohd. Nistah, program itu bertujuan untuk merapatkan jurang fakulti dengan murid-murid di sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau yang juga Pensyarah FKI mahu masyarakat luar khususnya murid sekolah rendah mengetahui peranan dan sumbangan fakulti kepada warga Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pelajar Tahun Empat FKI mengendalikan bengkel selama sehari itu di Makmal FKI, Tingkat 7 bagi murid SKPS mengetahui serba sedikit cara pembikinan filem, “katanya.

Program E-Komuniti dikendalikan pensyarah FKI, Wan Nooraishya Wan Ahmad.

Mohd Noor Izwan yang mewakili Guru Besar SK Pekan Satu, Anita Shyamini A/P S.Azman mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada FKI kerana memberi ruang dan peluang kepada murid Tahun 5 SK Pekan Satu untuk mempelajari sesuatu yang baharu sekaligus satu pengalaman yang berguna kepada murid terbabit.

FKI ditubuhkan pada 1 Jun 2014 melalui penggabungan sains komputer dan program Teknologi Maklumat dari dua buah sekolah, Sekolah Labuan Sains Informatik (LSIS) dan Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.

Oleh kerana penggabungan ini, FKI mempunyai dua kampus: satu di Kota Kinabalu dan satu lagi di Labuan yang diterajui Dekan FKI, Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim.

Sebelum pembentukan FKI, Universiti Malaysia Sabah telah dianugerahkan dengan status MSC dan ini menggambarkan potensi UMS untuk melahirkan graduan yang berkualiti.

Fakulti ini telah melabur untuk mendapatkan kemudahan dan peralatan bagi menyokong pengajaran dan penyelidikan.

Ini membolehkan pelajar-pelajar untuk meletakkan konsep teori dalam amalan melalui pelbagai kemudahan teknologi.

Pengetahuan yang diperolehi daripada aktiviti penyelidikan disalurkan terus ke dalam ijazah dan program ijazah lanjutan.

FKI sentiasa memastikan kurikulum mengambil kira teknologi baru, trend industri dan kaedah.

Tamat.