LABUAN – Persatuan Mahasiswa Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) telah menganjurkan Karnival Halal Hub 3.0 di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 3-4 November 2017.

Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Dekan FKAL, Prof Madya Dr Hanudin Amin di lobi Bangunan Menara UMSKAl, pada 3 November 2017.

Turut hadir Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) FKAL, Dr Mohd Fahmi Mohd Ghazali, Penyelaras Program, Ahmad Aizuddin Hamzah dan Pengarah Program Karnival Halal Hub 3.0, Muhammad Faris Kamarudzaman.

Program itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat dan mahasiswa UMS Labuan mengenai produk dan perkhidmatan yang berteraskan halal.

Selain itu, ianya juga untuk menerapkan gaya hidup Islam kepada mahasiswa serta ilmu pengetahuan mengenai halal hub.

Pada masa sama, program tersebut mahu memperkenalkan UMS Labuan kepada masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan yang sentiasa bekerjasama menjayakan program berteraskan halal.

Sempena program itu turut diadakan Forum Akademik yang bertajuk ‘Kosmetik Keperluan atau Fitrah’ yang menampilkan dua ahli panel iaitu Da’I Wan dan Rahman Baco di Dewan Kuliah Pusat 1, malam kelmarin.

Turut diadakan gerai pameran dan jualan pelbagai produk kesihatan dan makanan yang bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk dan perkhidmatan masing-masing.

“Sebanyak 11 gerai pameran dan jualan produk kesihatan dan makanan diadakan untuk memberi ruang dan peluang peniaga tempatan memasarkan produk masing-masing khususnya kepada warga UMS Labuan, “katanya.

Dr Hanudin yakin menerusi karnival itu, mahasiswa akan mempelajari pelbagai ilmu keusahawanan dan mampu berkomunikasi dengan pihak luar.

Beliau berharap mahasiswa akan merebut ruang dan peluang menerusi penganjuran karnival itu untuk menyerlahkan bakat kepimpinan mereka menjayakan karnival dua hari itu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua AJK Penganjur yang menjayakan Karnival Halal Hub 3.0 ini. Saya yakin banyak yang mereka pelajari menerusi penganjuran program tersebut,”katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Labuan Halal Hub yang turut bekerjasama menjayakan karnival tersebut.

Tamat.