LABUAN – Seramai 30 murid Tahun 5 dan 6 Sekolah Kebangsaan Pekan Dua (SKPD) telah mengikuti Bengkel Photoshop dan Poster pada program E-Komuniti Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Makmal FKI, Tingkat 9, Bangunan Menara, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 6 November 2017.

Rombongan sekolah itu diketuai Rosazilinda Aziz dan guru Matematik, Syed Alwi Said Mohammad bersama 7 orang murid Tahun 5 dan 23 murid Tahun Enam.

Rosazilinda yang mewakili Guru Besar SK Pekan Dua, Jaafar Matusin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada FKI kerana memberi ruang dan peluang kepada murid SK Pekan Dua untuk mempelajari sesuatu yang baharu sekaligus satu pengalaman yang berguna kepada murid terbabit.

Sementara itu, murid Tahun 6 Berlian, Nur Nadia Kamsul berharap menerusi program itu, beliau akan dapat mengaplikasikan pengetahuan tersebut untuk membantu rakan dan guru serta SKPD.

“Tentu sekali saya bersama rakan mendapat pengetahuan dan pengalaman yang baharu dan berguna pada masa akan datang,”katanya.

Rakannya, Amir Arshad Azmi juga yakin bengkel sehari itu akan menambah ilmu IT kepada murid SK Pekan Dua yang akan memberi manfaat kepada sekolah tersebut.

“Kami amat gembira kerana dipilih oleh Guru Besar mengikuti bengkel tersebut. Ruang dan peluang itu akan kami gunakan untuk manfaat bersama,”katanya.

Menurut Penyelia Program, Nona Masnie Mohd. Nistah, program itu bertujuan untuk merapatkan jurang fakulti dengan murid-murid di sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau yang juga Pensyarah FKI mahu masyarakat luar khususnya murid sekolah rendah mengetahui peranan dan sumbangan fakulti kepada warga Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pelajar Tahun Empat FKI mengendalikan bengkel selama sehari itu di Makmal FKI, Tingkat 9 bagi murid SKPD mengetahui serba sedikit cara Photoshop dan Poster, “katanya.

Program E-Komuniti dikendalikan pensyarah FKI, Wan Nooraishya Wan Ahmad.

Nona Masnie berkata FKI mahu membudayakan Teknologi Maklumat (IT) kepada murid sekolah rendah sekaligus mahu mereka meneruskan pengetahuan tersebut hingga ke sekolah menengah.

FKI ditubuhkan pada 1 Jun 2014 melalui penggabungan sains komputer dan program Teknologi Maklumat dari dua buah sekolah, Sekolah Labuan Sains Informatik (LSIS) dan Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.

Oleh kerana penggabungan ini, FKI mempunyai dua kampus: satu di Kota Kinabalu dan satu lagi di Labuan yang diterajui Dekan FKI, Prof Madya Dr Ag Asri Ag Ibrahim.

FKI telah melabur untuk mendapatkan kemudahan dan peralatan bagi menyokong pengajaran dan penyelidikan.

Ini membolehkan pelajar-pelajar untuk meletakkan konsep teori dalam amalan melalui pelbagai kemudahan teknologi.

Pengetahuan yang diperolehi daripada aktiviti penyelidikan disalurkan terus ke dalam ijazah dan program ijazah lanjutan.

FKI sentiasa memastikan kurikulum mengambil kira teknologi baru, trend industri dan kaedah.

Tamat.