LABUAN – Penganjuran Pesta Tamu Gadang Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 2017 ternyata memberi impak kepada ekonomi dan industri pelancongan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ini berikutan kehadiran peserta dan pengunjung dari seluruh Borneo yang menyertai pelbagai acara yang diadakan sepanjang tiga hari pesta itu berlangsung pada 10-12 November lalu.

Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik berkata penyertaan peserta dan pasukan dari Kota Kinabalu dan Sandakan dalam acara futsal dan catur bukan sahaja memberi cabaran kepada pasukan tempatan tetapi juga membantu menjana ekonomi dan merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan.

“Kehadiran peserta dan peniaga dari luar Labuan telah memberi impak kepada industri pelancongan sekaligus menjana ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan,”katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Tamu Gadang UMSKAL 2017 yang diadakan di Dewan Utama pada 12 November 2017.

Turut hadir isteri Dr Murnizam, Hayati Salleh Baihaki, Timbalan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dan isteri Joscey Joseph serta Timbalan Pendaftar Kanan UMSKAL, Zamri Mohamad Tuah.

Kira-kira 1,000 penonton yang memenuhi Dewan Utama itu terhibur dengan persembahan pentas yang dijayakan tiga artis terkenal tanah air iaitu Aweera, Ara dan Aepul (Drama Band).

Turut diadakan pertandingan akhir Labuan Voice Karaoke Competition dan Show Me What You Got.

Dr Murnizam turut melahirkan rasa bangga dengan komitmen pelajar yang menjadi tulang belakang kepada penganjuran Pesta Tamu Gadang 2017.

Katanya, pelajar yang diberi kepercayaan sebagai penganjur acara dengan kerjasama kakitangan dan pensyarah telah membuktikan kemampuan dan kebolehan mereka menjayakan pesta tersebut pada tahun ini.

“Kepercayaan yang diberikan kepada pelajar telah dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Saya ucapkan terima kasih atas komitmen dan kesungguhan pelajar dan kakitangan yang terbabit menjayakan Pesta Tamu Gadang 2017,”katanya.

Mengenai aktiviti yang diadakan pada tahun ini, Murnizam berkata pihaknya akan melakukan penambahbaikan selain dan meneruskan acara tersebut.

“Saya boleh katakan inilah Pesta Tamu Gadang yang terbaik pernah dianjurkan UMSKAL. Perjalanan program berjalan dengan lancar dan teratur,”katanya.

Dr Murnizam tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada warga Labuan yang sentiasa menyokong penganjuran Pesta Tamu Gadang UMSKAL pada setiap tahun.

Beliau berharap sokongan, kerjasama dan komitmen semua pihak itu akan diteruskan pada masa akan datang.

Sepanjang tiga hari pesta itu berlangsung, pelbagai acara diadakan termasuk Cyber Game Challenge, Cutey Catz, Kejohanan Catur Piala Pengarah UMSKAL, Cooking Battle, Labuan Voice Karaoke Competition dan futsal terbuka lelaki.

Selain itu, Kids Got Talent, Show Me What You Got, Pertandingan Bola Jaring, Bengkel Tarian Tradisional, Pameran Moto Cup, Pameran Perubatan Tradisional & Komplementari, Orientering dan memanah.

Selain berhibur, pengunjung turut membeli pelbagai barangan menerusi gerai makanan, food truck expo, Expo Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) dan car boot sale.

Tamat.