LABUAN – Estubin FT dari Kota Kinabalu muncul juara Kejohanan Futsal Lelaki sempena Pesta Tamu Gadang UMS Kampus Antarabangsa Labuan 2017.

Di perlawanan akhir, Estubin yang dibimbing Mohd Kamarul Hamzah menewaskan 88 FT dari Labuan 1-0 untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 manakala pasukan 88 FT meraih RM1,000.

Tempat ketiga bersama dimenangi Sun Wukong FT dan CSUK FT yang masing-masing menerima RM400.

Sementara itu, pengurus pasukan Estubin, Rashid Rahman berkata pasukannya akan terus menyertai pertandingan futsal UMSKAL pada tahun hadapan bukan sahaja untuk menilai kombinasi anak buahnya tetapi juga memeriahkan Pesta Tamu Gadang UMSKAL 2018.

“Estubin bersedia mempertahankan kejuaraan futsal lelaki pada tahun 2018. Terima kasih kepada AJK Penganjur yang berjaya mengadakan acara tahunan itu, “katanya.

Rashid berkata Estubin akan menyertai acara futsal di Tamu Gadang UMS di Kota Kinabalu hujung minggu depan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Soffry Yusof di gelanggang futsal UMSKAL pada 12 November 2017.

Turut hadir Penolong Pendaftar HEPA, Mohd Fadzli Sarudi dan Penyelaras Program, Mohd Nazri Ibrahim.

Sebanyak 40 pasukan termasuk dari Kota Kinabalu dan Sandakan selain tuan rumah, Wilayah Persekutuan Labuan menyertai pertandingan futsal yang diadakan pada 10-12 November lalu.

Tamat.