Seramai 57 Pegawai Pasukan Siswa Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Pasukan Siswa APM) Universiti Malaysia Sabah (UMS), iaitu dari Kampus Induk UMS (seramai 30 orang), dan Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) (seramai 27 orang) ditauliahkan pangkat Leftenan Muda Pertahanan Awam di Majlis Pentauliahan Pasukan Siswa APM di UMS Peak, UMS pada 15 November 2017.

Pegawai-pegawai muda ini telah berjaya menamatkan latihan sepanjang tiga tahun bersama APM dengan mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi sebagai ikon kesiapsiagaan awam dalam memikul tanggungjawab bagi membantu APM dalam menghadapi bencana termasuk melaksanakan sebarang aktiviti kesedaran keselamatan awam menghadapi kecemasan dan bencana.

Majlis pentauliahan ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi APM, Roslan Wahab, dan dihadiri oleh Pemangku Pengarah APM Sabah, Mohd Izaimi Md Daud, Komandan Pasukan Siswa APM UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof, Timbalan Komandan Pasukan Siswa APM UMS, Dr. Mohd Nizam Nazaruddin, dan Pegawai Bersekutu Pasukan Siswa APM UMSKAL, Profesor Madya Dr. Hjh. Norazah Mohd Suki, pegawai-pegawai APM, kadet-kadet yang baru menyertai APM, dan ibu bapa pegawai muda yang ditauliahkan.

 “Saya merasakan pentauliahan yang berkonsep outdoor kali ini merupakan satu pengalaman yang mampu dijadikan sebagai pembakar semangat kepada pegawai-pegawai muda ini untuk terus mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dengan menyumbang kepada masyarakat” menurut Roslan.

Manakala, Prof. Shahril menyatakan bahawa usaha jurulatih dan para pegawai yang melatih pegawai-pegawai muda ini juga adalah satu usaha yang harus dibanggakan oleh semua pihak.

Tamat.