LABUAN – Pada 15 November 2017 telah berlangsung Majlis Anugerah Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Semester 2 2016/2017 di Dewan Theatrette, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Seramai 107 pelajar Tahun Satu dan Tahun Dua telah menerima anugerah daripada Dekan FKAL, Prof Madya Dr Hanudin Amin.

Turut hadir Timbalan-timbalan Dekan, Dr Mohd Fahmi Mohd Ghazali dan Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid serta pensyarah fakulti tersebut.

Dalam ucapannya, Dr Hanudin mahu pelajar terus mendampingi ilmu tanpa rasa jemu.

Beliau juga berharap mereka mengekal dan meneruskan kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga alam pekerjaan kelak.

“Pelajar harus menghargai ilmu yang diperolehi daripada pensyarah masing-masing. Anda harus mengekalkan kecemerlangan tersebut,”katanya.

Dr Hanudin menasihatkan pelajar agar menjaga etika pembelajaran dan pembelajaran.

Pada masa sama, beliau mengucapkan terima kasih atas usaha gigih pensyarah mendidik dan membimbing pelajar mereka sehingga beroleh kejayaan yang cemerlang.

“FKAL akan terus melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik sekaligus mengharumkan nama UMS di persada antarabangsa dan kebangsaan. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pensyarah,”katanya.

Pada majlis itu, pensyarah FKAL, Ruth Sikopit Siganul yang akan bersara pada tahun ini menerima cenderamata kenangan.

Manakala kakitangan fakulti itu, Mohd Nurulizam Tinggal yang berpindah ke Sektor Hal Ehwal Pelajar turut menerima cenderamata daripada Dr Hanudin.

Tamat.