LABUAN – Pada 20 November 2017, seramai 25 murid Tahun 6 SK Tanjung Aru 1 telah mengunjungi UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sempena program Lawatan Belajar Sambil Melawat ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua rombongan sekolah itu, Mohd Safri Mohd Yanin berkata lawatan pada 19-22 November itu bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai proses pembelajaran dan pengajaran di menara gading.

Pada masa sama, beliau yang juga guru disiplin SK Tg Aru 1 mahu murid tersebut dapat menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman mengunjungi Labuan yang diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984.

“Murid akan membentangkan hasil lawatan untuk disimpan di Pusat Sumber Sekolah SK Tanjung Aru 1,”katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pengurusan UMSKAL yang sentiasa memberikan kerjasama menjayakan lawatan tersebut.

Ketika di UMSKAL, penyelaras lawatan, Mohizam Mohamad membawa ahli rombongan melawat makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Tingkat 9, Bangunan Menara UMSKAL serta meninjau pemandangan menarik Pulau Labuan di Aras 13.

Selain UMSKAL, murid dan guru turut melawat SK Pekan Dua, Muzium Sejarah, Muzium Marin, Muzium Chimney, kilang air leminit, Taman Burung dan Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua.

Mohd Safri tidak lupa mengucapkan terima kasih Guru Besar SK Tg Aru 1, Haji Abd Ghani Haji Kassim kerana membenarkan program lawatan yang dikendalikan Unit HEM itu melawat Labuan.

“Kami ucapkan terima kasih kepada PIBG dan penyumbang individu yang membantu melancarkan pergerakan kami di Wilayah Persekutuan Labuan,”katanya.

Tamat.