LABUAN – Syarikat petroleum nasional, Petronas telah menaja Pertandingan UMSKAL Cooking Battle 2017 sempena Pesta Tamu Gadang UMSKAL.

Pada tahun ini, sebanyak 8 pasangan menyertai pertandingan tersebut yang diadakan bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada peserta memasak masakan Barat.

Pertandingan yang bertemakan Makanan Barat itu diadili Chef Bong Kok Min dari Hotel Lazenda selaku Ketua Juri, Puan Mavnun Haslinda Omar Maya (Wakil Petronas Dagangan Berhad) dan Dr. Romzi Ationg (Penyelaras PPIB).

Kumpulan ZIEMEL yang diwakili Roziani Japar dan Melati Dahlan muncul johan sekaligus membawa pulang hadiah RM700 dan cenderahati.

Mereka yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir (P/O) Unit Sumber Manusia & Latihan di Hospital Labuan memasak menu Meatball ala ziemel & Italian Bread with Chicken Mayo & Chicken Blackpepper.

Tempat kedua dimenangi Kumpulan Nour Rizquna's Kitchen yang diwakili Lizawana Halidin (Pembantu Tadbir (P/O) Unit Sumber Manusia & Latihan) dan Hagijah @ Kamariah Omar (Suri rumah).

Kedua-duanya menampilkan masakan Lamb Chop with special blackpepper sauce & Chicken boxing with special thousand island sauce untuk meraih RM500 dan cenderahati.

Pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Tahun 2, HE23, Afiqah Fatin Syaza Yahya (Selangor) dan 'Afifah Abd Fatah (Kelantan) menduduki tempat ketiga menerusi menu Spicy lamb pasta & Shrimp with garlic bread. 

Kejayaan pelajar yang menamakan diri mereka sebagai Kumpulan La' Spezia itu menerima RM300 bersama cenderahati.

Isteri Pengarah UMSKAL, Puan Hayati Salleh Baihaki serta ibu dan anaknya turut menyertai pertandingan tersebut. 

Kumpulan Homecooking masterchef diwakili Hayati Salleh Baihaki bersama Aiman Danial Khan Helmi Zam Halik.

Manakala Kumpulan Hanani diwakili Yohani Mohd Salleh (ibu Puan Hayati) dan Hana Aleya Murnizam (anak Pengarah berumur 10 tahun) .

Chef Bong Kok Min menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Penyelaras program, Nur Shafiekah Sapan mengucapkan terima kasih kepada Petronas kerana sudi menaja pertandingan tersebut.

Beliau juga berharap lebih ramai peserta dari luar Labuan akan menyertai pertandingan itu sekaligus memeriahkan Pesta Tamu Gadang UMSKAL. 

Tamat.